Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Sedekad ini pelbagai peristiwa telah melanda harakatul ummah ini, sebahagian pimpinan PAS telah keluar parti dengan menubuhkan parti baru untuk menopang kekuatan Dap. Sepuluh tahun ini juga menyaksikan koalisi PN pernah memegang tampuk kuasa diperingkat Pusat, juga keadaan politik semasa yang menyaksikan PAS mempunyai paling ramai Ahli Parlimen dan juga ADUN diseluruh negara. Almarhum juga tak sempat melihat keberhasilan doa agar Dr Mahathir menyokong perjuangan PAS!. Telah sedekad sang maestro dakwah dan siasah yang kita cintai telah meninggalkan kita dengan seribu keteladanan, menoreh sejarah emas dalam perjuangan Islam di negara ini. Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat,mantan Mursyidul Am PAS yang kedua , juga mantan MB Kelantan yang telah merubah wajah kerajaan Kelantan yang dimenangi oleh PAS melalui koalisi APU dalam tahun 1990.
Sosok ini berjaya membumikan dan membudayakan al Quran dalam masyarakat, bukan sahaja dengan pengajaran tafsir al Quran, namun berjaya menggalakkan masyarakat Melayu menghafal al Quran. Semenjak pulang dari Asia Barat setelah bermukim ilmu yang panjang , beliau sangat obses dengan pendidikan Islam. Memecahkan khurafat besar bangsa Melayu, ” politik suku, agama suku” melalui kegiatan pendidikan Al Quran yang merakyat keseluruh sendi masyarakat.
Tak lengah dan tak lelah, terus menceburi bidang pendidikan Islam dan bercita-cita untuk membentuk generasi al Quran di tanahair ini. Kompleks Sekolah agama Darul Anuar adalah manifestasi keseriusan beliau dalam membangun pendidikan al Quran, juga dengan zuriat beliau yang ditekankan pendidikan al Quran. Kemana sahaja almarhum diberikan peluang untuk berucap, maka masyarakat diajak untuk memahami Islam sebagai cara hidup yang lengkap.
Dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, telah membuka ruang yang luas untuk almarhum merealisasikan cita-citanya membumikan ajaran Al Quran . Beliau memberikan fokus kepada sekolah-sekolah agama di Kelantan, terutama maahad tahfiz yang akhirnya berkembang menjadi fenomena negara ini. Hasrat beliau agar Kelantan kekal dengan reputasi sebagai ‘Serambi Mekah’ yang meranum subur dengan ilmu-ilmu pengajian Islam dan al Quran. Beliau tegas mengemudi kerajaan, menegur anggota legislatif yang mempunyai tendensi berubah cara hidup. Tidak membina jarak dengan rakyat, temui beliau di medan Ilmu Kota Bharu, masjid Pulau Melaka, bahkan terus ke rumahnya untuk acara tahnik anak atau pelbagai hajat lain. Tiada rekod almarhum menyimpan simpanan wang sebelum mengadap Ilahi!.
Di antara institusi pendidikan Islam yang semakin berkembang di Malaysia khususnya di Kelantan ialah sekolah tahfiz al-Quran. Di negara ini kewujudan tahfiz menjadi fenomena dalam dekad 1990-an akibat kesedaran Islam yang semakin meluas dikalangan kelas menengah Melayu dan juga aktivis pendidikan Islam di negara ini. Kelantan menjadi tapak subur kepada sekolah tahfiz al-Quran sama ada yang ditubuhkan oleh kerajaan ataupun yang ditubuhkan oleh pihak persendirian dengan bantuan daripada pihak kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS. Lebih 150 buah sekolah Tahfiz diwujudkan di Kelantan, juga menampung kehadiran santri daripada seluruh negara. Pondok Moden kandis ditubuhkan untuk pemberdayaan pengajian kitab turath untuk tempoh masa yang di negara ini, begitu juga Kolej Universiti KIAS yang berkembang pesat. Paling penting anak anak Kelantan menggunguli semua pusat pendidikan dalam dan luar negara, bertolak daripada keteladan figura dakwah ini yang mahukan rakyat Kelantan menterjemaahkan makna Kelantan Serambi Mekah.
Almarhum telah meninggalkan kita semua dengan jasa yang besar, menjadi cermin keteladanan yang memantulkan keseimbangan watak siasah, dakwah dan tarbiah. Abnaul harakah PAS wajar melanjuti apa yang almarhum tinggalkan, menggerakkan jihad ta’lim sepenuh hati sehingga kefahaman Islam meratai keseluruh sektor masyarakat. Menghasilkan para huffaz yang juga sebagai kelompok profesional dan aktivis Islam, bukan sekadar memimpin solat berjemaah tetapi memandu manusia ke arah menegakkan pemerintahan berlandaskan al Quran. Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah sosok yang berkarektor “walk the talk”, dia paling kuat menegakkan solat, berpuasa, membaca pelbagai jenis genre, menyantuni masyarakat, berdakwah. Watak sebagai murabbi, bukan semata mata mengungkapkan kata kata cerdas, tetapi beliau mendahului dengan contoh amalan.
Sepanjang pemerintahan almarhum, Kelantan dikucilkan kerana iltizam almarhum kepada Islam, rakyat Kelantan didera kerana menyokong PAS dan meletakkan almarhum Tuan Guru sebagai pemimpin utama kerajaan negeri jantung hati orang Melayu ini. Kelantan menjadi kampus politik terbuka dan negeri yang menjadi tadahan wahyu dengan erti kata lain,merealisasikan suruhan al Quran dan mencegah kemungkaran dengan bidang kuasa yang dimiliki oleh Tuan Guru dan kerajaan negeri. Reformasi yang beliau lakukan akhirnya banyak dicontohi oleh negeri lain, juga oleh kerajaan Persekutuan. Almarhum menutup pintu maksiat dan kebejatan, memindahkan Wang negeri ke akaun Bank Islam, mewujudkan Enakmen Kawalan Hiburan, Enakmen Jenayah Syariah, dan pelbagai perubahan yang selaras dengan kehendak Islam.
Beruntungnya rakyat tanah serendah sekebun bunga yang lahir selepas 1990, mereka tak sempat melihat pusat maksiat seperti ” Paris Malaya” yang popular sejak dekad 1930an lagi di Kota Bharu, tak pernah melihat pusat judi , pesta pora hedonism dan beragam kemungkaran termasuk pesta Puja Pantai yang bersalut dengan kesyirikan yang berabad lamanya disambut di negeri berbudaya itu . Kelantan menjadi guru politik yang mencerahkan akal serta membuka jalan kepada peluasan pengaruh PAS di tanah watan ini. Tuan Guru mengadap Ilahi pada 12 Februari 2015 setelah bertarung dengan penyakit yang dialaminya, sehingga ke akhir hayatnya tetap dengan amalan mulianya, solat berjemaah, qiamullai, membaca Al Quran. Khabar duka pemergian almarhum tersebar keseluruh buana, didoakan dipelbagai negara. Kelantan menyaksikan solat jenazah paling ramai dalam sejarahnya kerana almarhum melepasi garis sempadan politik kepartian, Tuan guru adalah milik ummah!
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)




















