Muktamar PAS kali ke-71 baru sahaja berlalu. Pelbagai pandangan serta kritikan dilontarkan ketika sesi perbahasan dan pembentangan usul oleh para perwakilan. Manakala para pimpinan pula menggulung pada penghujung agenda dan disudahi dengan amanat serta arahan TS TG Presiden.
Himpunan kepimpinan PAS dari 197 kawasan seluruh negara membuktikan bahawa PAS bukanlah sekadar parti yang memenuhi kehendak peruntukan perlembagaan parti, mahupun memenuhi keperluan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sahaja, tetapi PAS berupaya memastikan bahawa konsep syura berlangsung dengan tertib, cermat dan bertepatan dengan prinsip syariah.
Bagi PAS, pelaksanaan syura membuatkan parti ini lebih mantap, konsisten serta padu seiring dengan maksud firman Allah: “…Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;.. (Surah Syura: 38).
Terdapat tiga bahagian syura (keputusan) di dalam muktamar iaitu; pertama, keputusan para perwakilan memilih ajk kerja PAS Pusat yang memenuhi kriteria ahli mesyuarat terdiri dari bermacam latar belakang pendidikan.
Kedua, penerimaan usul-usul dari segmen pendidikan, antarabangsa, ekonomi dan kos sara hidup, politik, merangkumi isu sistem percukaian SST, penolakan URA, Palestin, perlindungan kanak-kanak serta pemerkasaan Perikatan Nasional; dan ketiga, adalah kesepakatan seluruh perwakilan dan kepimpinan untuk menerima amanat dan arahan TS TG Presiden PAS yang menjurus ke arah memperkasa kekuatan parti menuju PRU 16 ke Putrajaya.
Keseluruhan intipati serta halatuju PAS sepanjang sesi ini termaktub di dalam ucapan dasar TS TG Presiden yang bertemakan, ‘Kembali Kepada Penyelesaian Islam’. Ucapan dasar ini merupakan nota dasar serta manifestasi yang dicita-citakan oleh pemimpin tertinggi parti sebagaimana ucapan awal khalifah al-Rasyidin pertama Saidina Abu Bakar al-Siddiq.
Khalifah pertama itu menegaskan dalam ucap tamanya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah dipilih untuk memimpin kamu semua, dan aku bukanlah yang terbaik dalam kalangan kamu semua semua. Sekiranya aku berbuat baik maka bantulah aku, dan sekiranya aku melakukan kesilapan, maka betulkanlah aku. Kebenaran adalah satu amanah dan dusta itu adalah satu pengkhinatan.
Dan orang yang lemah dikalangan kamu semua adalah kuat pada pandanganku, sehingga aku berikan hak kepadanya, Insyaallah. Dan orang yang kuat dikalangan kamu semua adalah lemah pada pandanganku, sehingga aku mengambil kembali hak daripadanya, Insyaallah.
Janganlah ada sesuatu kaum yang meninggalkan jihad, kecuali Allah SWT akan menimpakan kehinaan kepadanya. Dan apabila keburukan sudah memenuhi pada sesuatu kaum, maka Allah SWT akan mendatangkan bala kepada kaum tersebut.
Taatlah kepadaku selama mana aku taat kepada Allah SWT dan RasulNya. Tetapi apabila aku melakukan maksiat kepada Allah dan Rasulnya, maka tidak wajib kepada kamu semua untuk mentaatiku. Marilah semua mendirikan solat, semoga Allah SWT merahmati kamu semua.” (Rujuk Sirah Ibn Hisyam, 4/240 dan ‘Uyun al-Akhbar Ibn Qutaibah, 2/234).
Kata-kata Abu Bakar itu telah membangkitkan keinsafan serta rasa tanggungjawab memelihara, menyebar seterusnya memartabatkan dakwah Islam. Dengan ini, para sahabat bersatu memerangi golongan riddah, memadamkan kumpulan yang enggan mengeluarkan zakat serta meneruskan misi Rasulullah s.a.w ke sempadan tanah Islam yang diketuai oleh saidina Usamah bin Zaid, meskipun pada peringkat awalnya berlaku perdebatan dalam kalangan para Sahabat.
Berbalik kepada muktamar PAS ke-71, himpunan besar ini cukup signifikan, membawa kepada penyatuan fikrah yang tertumpu kepada beberapa hal. Pertamanya, menyerahkan mandat pengaturan strategi politik kepada Pusat. Kedua, memperkasa jentera pilihanraya di setiap peringkat. Ketiga, memperkasa kekuatan dalaman parti menerusi aktiviti tarbiyah. Keempat, menangani isu rakyat secara tuntas. Kelima, memperluaskan pengaruh dan jaringan politik ke luar PAS. Keenam, membina jambatan dengan golongan bukan Islam. Ketujuh, memperhebat penerangan serta menguasai teknologi digital. Kelapan mengisi kemenangan di negeri SG4 dengan berstrategik. Kesembilan, menyatakan pendirian tegas mengenai isu Palestin; dan kesepuluh, istiqamah dengan Islam.
Justeru, muktamar di bumi Kedah tahun ini memperlihatkan komitmen PAS melaksanakan konsep syura secara holistik dalam mendepani kerencaman politik dalam negara dan antarabangsa. Ia juga mengajar kepada seluruh ahli PAS betapa pentingnya menyatukan fikrah sewaktu pimpinan mengemudi bahtera perjuangan. Jangan ada ahli yang bertelingkah ketika menuju ke medan, tetapi bertekad membawa pulang piala kemenangan ke pengkalan.
al-faqir
Dr Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi
Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan PAS Pusat




















