Bahaya ‘kesesatan’ ke atas para penggerak haraki

Bukan Ramadhan Saja Pesta Ibadah, Ini 5 Kelebihan Bulan Zulhijjah Yang  Ramai Tak Tahu

 

KETIKA ini umat Islam sudah memasuki bulan Zulhijjah. Di dalam kalendar Islam, baik bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab merupakan bulan Haram (suci) berbanding kedudukan bulan-bulan lain sepanjang tahun. Putaran tempoh bulanan Ini adalah sunnatullah, dan setiap yang hidup pasti melaluinya tanpa terkecuali.

Dalam hal ini, Imam Bukhari dalam Sahihnya menukilkan sebuah hadis yang berbunyi;

عَنْ ابْنِ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَةِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ثَلَاثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ أَيُّ شَهْرٍ هَذَا قُلْنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ فَسَكَتَ حَتَّى ظَنَنَّا أَنَّهُ سَيُسَمِّيهِ بِغَيْرِ اسْمِهِ قَالَ أَلَيْسَ ذُو الْحِجَّةِ قُلْنَا بَلَى قَالَ فَأَيُّ بَلَدٍ هَذَا قُلْنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ فَسَكَتَ حَتَّى ظَنَنَّا أَنَّهُ سَيُسَمِّيهِ بِغَيْرِ اسْمِهِ قَالَ أَلَيْسَ الْبَلْدَةَ قُلْنَا بَلَى قَالَ فَأَيُّ يَوْمٍ هَذَا قُلْنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ فَسَكَتَ حَتَّى ظَنَنَّا أَنَّهُ سَيُسَمِّيهِ بِغَيْرِ اسْمِهِ قَالَ أَلَيْسَ يَوْمَ النَّحْرِ قُلْنَا بَلَى قَالَ فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ قَالَ مُحَمَّدٌ وَأَحْسِبُهُ قَالَ وَأَعْرَاضَكُمْ عَلَيْكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا وَسَتَلْقَوْنَ رَبَّكُمْ فَسَيَسْأَلُكُمْ عَنْ أَعْمَالِكُمْ أَلَا فَلَا تَرْجِعُوا بَعْدِي ضُلَّالًا يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ أَلَا لِيُبَلِّغْ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ فَلَعَلَّ بَعْضَ مَنْ يُبَلَّغُهُ أَنْ يَكُونَ أَوْعَى لَهُ مِنْ بَعْضِ مَنْ سَمِعَهُ فَكَانَ مُحَمَّدٌ إِذَا ذَكَرَهُ يَقُولُ صَدَقَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ أَلَا هَلْ بَلَّغْتُ مَرَّتَيْن
Maksud: Daripada Muhammad, daripada Ibn Abi Bakrah, daripada Abu Bakrah, daripada Nabi SAW, Baginda SAW bersabda: “Zaman telah beredar sepertimana pada hari diciptakan langit dan bumi; satu tahun sebanyak 12 bulan, empat daripadanya adalah bulan haram (yang suci), tiga berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah serta Muharram, dan yang keempat adalah Rejab mengikut pendapat kabilah Mudhar terletak di antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban. “Bulan apakah ini?”. Kami berkata: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui”. Baginda SAW diam sehingga kami menyangka Baginda SAW akan menamakannya dengan nama selainnya. Baginda SAW bersabda; “Bukankah ini bulan Zulhijjah?”. Kami berkata: Ya! Baginda SAW bersabda; “Negeri apakah ini?”. Kami berkata: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui”. Baginda s.a.w diam hingga kami menyangka Baginda SAW akan menamakannya dengan nama selainnya. Baginda s.a.w bersabda: “Adakah ini Makkah yang kamu kenal?”. Kami berkata, Ya!. Baginda SAW bertanya: Hari apakah ini?; Kami berkata: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui”. Baginda SAW diam hingga kami menyangka Baginda SAW akan menamanya dengan nama selainnya. Baginda SAW bertanya; “Bukankah ini hari Nahr (korban)?”. Kami berkata: “Ya!”. Baginda SAW bersabda; “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta benda kamu – Muhammad (salah seorang perawi) berkata: Aku menyangka beliau turut mengatakan – dan kehormatan kamu, haram ke atas kamu semua sepertimana kehormatan (dihormati) hari kamu ini, di negeri kamu ini, pada bulan kamu ini. Kelak kamu semua akan bertemu Tuhan kamu dan Dia akan bertanya mengenai amal-amal kamu semua. Ketahuilah, janganlah kamu menjadi sesat sesudahku, bahawa sebahagian daripada kamu akan membunuh sebahagian yang lain. Ketahuilah, hendaklah (mereka) yang hadir menyampaikan kepada mereka yang tidak hadir. Berkemungkinan sebahagian orang yang disampaikan kepadanya lebih faham daripada sebahagian orang yang mendengarnya (secara langsung). Maka Muhammad (perawi) apabila menyebutkannya berkata: “Sungguh benar Rasulullah SAW”. Kemudian Baginda SAW bersabda; “Adakah aku telah menyampaikan?”. Baginda mengulanginya sebanyak dua kali”. (Sahih Bukhari: 4406)

Menerusi matan hadis berkenaan didapati bahawa Rasulullah SAW telah menyatakan beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh kaum muslimin. Bagi ahli jamaah Islam pula, sabda Rasulullah SAW tersebut mengetengahkan beberapa hal. Antara fasal-fasal yang diketengahkan itu adalah;
• Mengiktiraf bulan-bulan suci dalam Islam;
• Penetapan mengenai pensyariatan ibadah di dalam bulan Zulhijjah;
• Penyataan kebebasan serta keselamatan jiwa, diri serta harta di tanah Haram;
• Peringatan tentang hitungan amalan ke atas setiap manusia;
• Menjauhi kesesatan;
• Menyampaikan segala peringatan yang dipertuturkan oleh Rasulullah SAW; dan
• Mengingatkan para sahabat tentang tingkatan kefahaman umatnya yang berbeza.
Dari sejumlah hal yang diucapkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis tersebut, satu perkara yang ingin ditekankan dalam tulisan ini adalah peringatan tentang bahaya kesesatan ke atas para aktivis haraki.

Maksud sesat

Kamus Dewan versi online mendefinisikan perkataan sesat sebagai tidak mengikut jalan yang betul, tersalah (tersilap) jalan. Tersalah atau terkeliru (perbuatan, kepercayaan, fikiran, fahaman, pegangan) menyimpang dari jalan yang benar. Terpesong daripada kebenaran.
Fenomena ‘sesat’ ini merujuk kepada beberapa situasi yang disebutkan di dalam al-Quran. Antara lainnya Allah berfirman:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغۡفِرُ أَن يُشۡرَكَ بِهِۦ وَيَغۡفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُۚ وَمَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلَۢا بَعِيدًا
Maksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya”. (an-Nisa’: 116)

Dalam menghuraikan ayat di atas, Imam Ibn Kathir menjelaskan bahawa Allah mengingatkan kembali bahayanya jika mengikut pendapat, fikiran orang ramai, yang bererti akan tersesat jauh dari jalan (agama) Allah kerana pendapat fikiran manusia itu semata-mata hasil sangkaan dan perkiraan yang tidak berdasarkan ilmu pengetahuan yang asli.

Pada ayat lain, Allah berfirman:
أَمۡ تُرِيدُونَ أَن تَسۡـَٔلُواْ رَسُولَكُمۡ كَمَا سُئِلَ مُوسَىٰ مِن قَبۡلُۗ وَمَن يَتَبَدَّلِ ٱلۡكُفۡرَ بِٱلۡإِيمَٰنِ فَقَدۡ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ
Maksud: “Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi Musa (oleh kaumnya) dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka sesungguhnya ia telah sesat dari jalan yang lurus”. (Baqarah: 108)

Firman Allah:

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ وَصَدُّواْ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ قَدۡ ضَلُّواْ ضَلَٰلَۢا بَعِيدًا
Maksud: “Sesungguhnya orang-orang yang kafir serta menghalang orang-orang lain dari jalan Allah (ugama Islam), sebenarnya mereka telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya”. (an-Nisa’: 167)

Intipati ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa kesesatan berlaku apabila kekufuran memenuhi jiwa, serta kekafiran menghiasi amalan dan bicara seseorang itu. Hati dan perlakuan zahirnya menjurus ke arah menafikan sifat-sifat Uluhiyyah dan Rububiyyah Allah. Keengganan mengakui ketauhidan Allah membuatkan dirinya umpama menukar keimanan dengan menggantikan kekufuran dalam kepercayaan dan kehidupan.

Salah satu dari jalan sesat adalah perbuatan mempersekutukan Allah, dan ia merupakan satu dosa yang tidak terampun, menjadikan seseorang itu menyimpang dari jalan yang lurus dan sesat. Kedudukan orang-orang kafir dan sekutu mereka yang menghalang orang-orang lain dari jalan Allah juga membuatkan mereka sesesat-sesat jalan dari landasan kebenaran.

Punca kesesatan

Selain dari amalan syirik yang menjadi musabbab kesesatan, terdapat juga punca lain condong menyebabkan keburukan itu berlaku. Antara penyebab kesesatan dalam kalangan manusia adalah kerana;
• mengikuti kumpulan yang berhakimkan Taghut serta mengikuti telunjuk Syaitan (an-Nisa: 60);
• menuruti hawa nafsu kaum terdahulu yang sesat (al-Maa’idah: 77);
• menyimpang dari al-Quran (Yunus: 108);
• mendurhakai Allah dan Rasul-Nya (al-Ahzaab: 36);
• mendustakan ayat-ayat Allah serta menentang utusan-utusan Allah (al-A’raaf: 37);
• kegiatan Ahli Kitab yang cuba menyesatkan orang-orang beriman (Ali ‘Imraan: 69);
• didikan keluarga terdekat yang menjadikan seseorang itu sesat kecuali bagi mereka yang memiliki kekuatan iman (Asy-Syu’araa: 96); dan
• kaum kafir yang berusaha menyesatkan golongan mukminin (Maryam: 39)

Sebab-sebab berlakunya kesesatan dalam kalangan manusia tidak terbatas kepada golongan awam semata-mata. Kumpulan yang bergiat atau bergelumang dengan kuasa dan politik juga tidak terkecuali daripada terseleweng dari garis sebenar, sekiranya mereka tidak berhati-hati.

Untuk itu, setiap ahli jamaah hendaklah sentiasa waspada dan cermat dalam setiap tingkah-laku agar tidak tersesat. Setiap keputusan pula hendaklah selaras dengan tuntutan Islam kerana di situlah terletak kebenaran dan keberkatan.

Terdapat beberapa laluan yang berkeupayaan menyesatkan perjalanan dakwah, mewujudkan ketempangan dalam hal kepimpinan, serta menyusur keluar daripada perjalanan siyasah Islami. Seorang ahli jamaah itu boleh tersesat apabila:
• Mentaati ketua kumpulan yang menyeleweng (al-A’raaf: 38);
• Berketuakan pemerintah yang zalim dan sombong seperti Firaun (Taha: 79);
• Menuruti penguasa takabur yang bertentangan dengan kebenaran (al-A’raf: 75);
• Tersalah langkah mengikuti bisikan Syaitan (al-Qasas: 15); dan
• Terpengaruh dengan ejekan orang-orang kafir dan mendustakan Allah dan Rasul-Nya (Saba’: 5-9)

Faktor-faktor di atas membuktikan bahawa seseorang ahli jamaah itu boleh tersadung atau terkeluar dari jalan kebenaran, sekiranya ia mengambil mudah atau jahil untuk membezakan antara benar dan batil. Oleh itu, sama ada ahli itu berada pada posisi memimpin atau dipimpin, ia mestilah memastikan bahawa jalan yang diambilnya itu tepat lagi sahih.

Timbul persoalan, apakah benar seorang pemimpin boleh tersesat? Jawapannya boleh ‘ya’, dan boleh ‘tidak’. Ya, boleh tersesat sekiranya ia melaksanakan amanah jamaah atau parti tanpa menjadikan sumber-sumber syari’e sebagai panduan seperti merujuk al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias; atau merujuk pandangan mujtahid yang berautoriti dalam parti.

Ia juga boleh tersesat apabila terikut-ikut dengan nafsu yang menguasai dirinya sehingga membuatkan seorang pemimpin itu terbabas dari kebenaran. Ia tertipu dengan ilmu di dada dan menyangka bahawa kedudukan keilmuannya itu mengatasi kefahaman ahli lain. Ia galak mengemukakan pandangan yang dikira menguntungkan diri atau puaknya sahaja. Sangkaan-sangkan ini sebenarnya merupakan tipu daya Syaitan yang cuba sedaya-upaya memecah-belahkan kesatuan jamaah haraki, tidak kira di mana saja keberadaannya.

Firman Allah:

فَلَوۡلَآ إِذۡ جَآءَهُم بَأۡسُنَا تَضَرَّعُواْ وَلَٰكِن قَسَتۡ قُلُوبُهُمۡ وَزَيَّنَ لَهُمُ ٱلشَّيۡطَٰنُ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ

Maksud: “Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan”. (al-An’aam: 43)

Sebaliknya, seorang pemimpin itu terselamat dari kesesatan apabila ia berpegang teguh dengan aqidah sahihah, dan meletakkan prinsip perjuangan di atas landasan yang betul. Ia berhemah dan teliti ketika melontarkan pandangan agar tidak tergelincir dari landasan Islam. Bersikap berani serta sentiasa menjaga adab berjamaah. Maka, ia akan terselamat.

Mengelak kesesatan

Seseorang itu sesat apabila ia tidak mengikuti petunjuk jalan yang betul. Sesat dek kerana jalan yang dilaluinya itu gelap tidak bercahaya membuatkan ia dalam keadaan teraba-raba. Apabila ditegur oleh mereka yang berpengetahuan, ia marah dan melenting. Keadaannya menjadi lebih parah apabila dia dikelilingi oleh juhalak yang terang-terang mendustai perintah Allah dan Rasul-Nya.

Meskipun begitu, Allah telah menyediakan ruang-ruang tertentu untuk para hamba-Nya kembali ke pangkal jalan. Firman Allah:

وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ

Maksud: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah – , dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”. (Ali ‘Imran: 135)

Selain bertaubat dan berdoa memohon keampunan Allah, terdapat jalan-jalan tambahan untuk mengelak diri dari perangkap kesesatan. Antara cara tersebut adalah:

i. Menunaikan tanggungjawab jamaah berasaskan perintah Allah dan Rasul.
Mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya merupakan kunci kekuatan serta keteguhan jamaah Islam. Seruan Allah dan Rasul untuk bersatu dalam semua perkara dapat menghindari kesesatan yang meruntuhkan keutuhan jamaah. Firman Allah:

وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ

Maksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar”. (al-Anfaal: 46)

ii. Memikul amanah parti berasaskan ilmu seiring dengan tuntutan Islam.
Ilmu adalah cahaya (Nur), penyuluh dalam kegelapan. Orang-orang yang menjadikan Allah sebagai pelindung sentiada memperolehi cahaya. Dengan suluhan nur itu, ia tidak sesekali akan tersesat. Namun bagi mereka yang menjadikan Taghut sebagai tuan, maka ia akan mengalih tempat dari keadaan bercahaya ke arah kegelapan. Hal demikian menyebabkan ia sesat. Firman Allah:

ٱللَّهُ وَلِيُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَوۡلِيَآؤُهُمُ ٱلطَّٰغُوتُ يُخۡرِجُونَهُم مِّنَ ٱلنُّورِ إِلَى ٱلظُّلُمَٰتِۗ أُوْلَٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ

iii. Menerima dan memberi nasihat yang benar
Orang yang mendengar nasihat atau sedia menerima nasihat adalah golongan terselamat selagi mana nasihat yang diluahkan itu berdasarkan ajaran Islam. Rasulullah s.a.w sendiri menyatakan bahawa agama itu nasihat. Sudah tentulah dengan agama, seorang pemimpin atau dipimpin itu terhindar dari bencana kesesatan. Dari Tamim ad-Darii berkata, Rasulullah SAW bersabda:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الدِّينَ النَّصِيحَةُ قَالُوا لِمَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ لِلَّهِ وَكِتَابِهِ وَرَسُولِهِ وَأَئِمَّةِ الْمُؤْمِنِينَ وَعَامَّتِهِمْ أَوْ أَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

Maksud: “Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka adalah Taghut, yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur) . Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”. (al-Baqarah: 257)

Maksud: “Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya agama itu adalah nasihat, sesungguhnya agama itu adalah nasihat, sesungguhnya agama itu adalah nasihat.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bagi siapa?”Baginda menjawab, “Bagi Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin kaum mukminin dan orang-orang awam (rakyat) mereka, atau beliau mengatakan, “Pemimpin kaum muslimin dan orang-orang awam (rakyat) mereka.” (Abu Daud: 4293)

iv. Kekal tidak terpengaruh dengan dakyah dan fitnah musuh
Para penggerak jamaah juga hendaklah memastikan bahawa perjalanan dakwah atau aktiviti parti tidak dipengaruhi oleh dakyah musuh atau terjerat dengan fitnah lawan. Hal ini berbangkit kerana Rasulullah SAW telah mengingatkan umatnya bahawa suatu masa kelak manusia akan dibanjiri dengan berbagai perkhabaran dusta. Justeru, apabila tiba tempoh itu, umatnya mestilah berhati-hati.

Dari Anas ibn Malik dan juga Abu Hurairah RA berkata: Sabda Rasulullah SAW:

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتٌ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ، قِيلَ: وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ: الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ.

Maksudnya: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang benar dikatakan pendusta, pengkhianat dikatakan amanah sedangkan orang yang amanah dikatakan sebagai pengkhianat. Pada ketika itu Ruwaibidhah akan berbicara.” Ada yang bertanya, “Apa yang dimaksud Ruwaibidhah?” Baginda menjawab, “Orang taaffah (bodoh, akal pendek, lalai, celaru) yang turut campur dalam urusan manusia.” Riwayat Ibn Majah (4036) dan Ahmad (7912). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’ (3650)

v. Mendampingi para ulamak haraki untuk mendapatkan pandangan
Ahli parti juga disaran supaya mendekati serta mendampingi para ulamak haraki agar mereka lebih memahami persoalan ‘kenapa mereka perlu berada di medan sebenar?’; ‘bagaimana mereka perlu bertindak agar tidak tersesat dari jalan Islam?’; dan ‘apakah cara yang dapat menjadikan diri mereka istiqamah dalam perjuangan?”.

Sejarah telah menunjukkan bagaimana peranan golongan ulamak berkenaan berkerja demi untuk menegakkan Islam dan mempertahankan kedaulatan tanahair. Maka, tidak pelik apabila pihak penjajah suatu ketika dahulu memburu dan menghukum para ulamak yang cintakan agama dan jihad untuk dilenyapkan. Mereka mengandaikan bahawa dengan ketiadaan ulamak ini, maka kebangkitan Islam dapat dipadamkan.

vi. Memposisikan diri menjadi sebahagian dari golongan menyeru kebenaran
Ahli harakah juga hendaklah sentiasa berusaha untuk berada dalam kalangan yang ikhlas berjuang menegak kebenaran. Selalu ingat bahawa tidak semua kumpulan benar-benar suci hati, ada juga yang beriya-iya di bibir menyatakan ikhlas, tetapi sebenarnya ‘ada udang di sebalik batu’. Pelbagai slogan dilaung-laungkan, namun ia terhenti sekadar habuan dunia, tidak sampai ke akhirat. Justeru, pilihlah golongan yang betul. Firman Allah:

وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّفَسَدَتِ ٱلۡأَرۡضُ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡعَٰلَمِينَ

Maksud: “…Dan kalaulah Allah tidak menolak setengan manusia (yang engkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam”. (al-Baqarah: 251)

vii. Kembali kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul apabila timbul pertelingkahan. Firman Allah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا

Maksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Uli al-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya – jika kamu benar beriman kepada allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”. (an-Nisaa’: 59)

viii. Menyedari tipu daya puak munafik dan Syaitan
Ahli jamaah perlu menyedari bahawa ada golongan yang cuba memesongkan perjalanan Islam dari landasan yang sebenar. Mereka yang terdiri dari kalangan munafik ini berkiblatkan Taghut, dan mengambil Taghut sebagai pelindung. Mereka juga tidak akan berdiam diri selagi kaum muslimin tidak mengikuti jejak langkah mereka untuk menyesatkan manusia sebagaimana mereka yang tertipu dengan permainan Syaitan. Allah berfirman:

لَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ يَزۡعُمُونَ أَنَّهُمۡ ءَامَنُواْ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ يُرِيدُونَ أَن يَتَحَاكَمُوٓاْ إِلَى ٱلطَّٰغُوتِ وَقَدۡ أُمِرُوٓاْ أَن يَكۡفُرُواْ بِهِۦۖ وَيُرِيدُ ٱلشَّيۡطَٰنُ أَن يُضِلَّهُمۡ ضَلَٰلَۢا بَعِيدٗا

Maksud: “Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakimkan kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur engkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya”. (an-Nisaa’: 60)

Penutup

Sebagai kesimpulan, sabda Rasulullah SAW pada hari Nahr (korban) semasa hidupnya telah mengingatkan tentang bahaya dan ancaman kesesatan ke atas semua, termasuklah mereka yang berpartisipasi dengan siyasah. Sesungguhnya praktikal perjuangan sesebuah parti politik itu bergantung kepada idealisme perjuangan atau ideologi yang ingin diangkat dan dimartabatkan.

PAS jelas dasar perjuangannya berasaskan tuntutan Islam seperti yang tertulis di dalam perlembagaannya.

Tidak dinafikan bahawa penyimpangan dari jalan kebenaran boleh terjadi, apabila pihak yang memimpin atau dipimpin di dalam sesebuah jamaah atau parti politik itu tidak melaksanakan asas apa yang dikehendaki oleh Islam. Mereka mungkin tersesat akibat dari salah faham, atau terikut-ikut rentak lawan, terleka dengan game musuh, rasa syok sendiri, termakan umpan pihak seteru, terlanjur mengikut nafsu; dan yang paling dibimbangi adalah kerana kecelaruan fahaman sehingga membawa kesan ke atas aqidah seseorang seperti menyatakan bahawa idealisme ciptaan adalah lebih baik berbanding sistem Islam yang dipegang.

Justeru, sekiranya kesesatan ini tidak dirungkai atau diseret kembali ke pangkal jalan, maka kesesatan itu berkesinambungan dari satu generasi ke satu generasi, dan akhirnya menghakis asas-asas Islam suatu hari kelak.

Benarlah bahawa Allah Penentu segala-galanya, namun berpandukan Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW, maka wajib ke atas ahli jamaah dan daie berkerja melaksanakan amanah yang diberikan. Selain itu, barulah berserah kepada Allah.

Firman Allah:
وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَيۡكَ وَرَحۡمَتُهُۥ لَهَمَّت طَّآئِفَةٞ مِّنۡهُمۡ أَن يُضِلُّوكَ وَمَا يُضِلُّونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمۡۖ وَمَا يَضُرُّونَكَ مِن شَيۡءٖۚ وَأَنزَلَ ٱللَّهُ عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَعَلَّمَكَ مَا لَمۡ تَكُن تَعۡلَمُۚ وَكَانَ فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَيۡكَ عَظِيمٗا

Maksud: “Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan Rahmat-Nya kepadamu (wahai Muhammad) nescaya berhasillah cita-cita segolongan dari mereka yang bertujuan untuk menyesatkanmu, pada hal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri; dan juga mereka yang tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikitpun; dan (selain itu) Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (al-Quran) serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkan-Nya kepadamu amatlah besar”. (an-Nisaa’: 113)

Al-faqir,
AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Lajnah Tarbiyah & Pekaderan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 30/5/2025

Related Blog

Leave a CommentYour email address will not be published.