Program Mukhayyam Tarbiyah PAS Memperkukuh Ukhuwah dan Wahdah menuju Kemenangan Islam

Pasir Puteh, 8 Februari 2025 – Program Mukhayyam Tarbiyah 2025 anjuran Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat telah berlangsung dengan penuh semangat di Jeram Mengaji Agro Resort, Pasir Puteh, Kelantan pada 7 hingga 8 Februari 2025 bersamaan 8-9 Syaaban 1446H. Program ini menghimpunkan pimpinan utama PAS bersama para peserta yang terdiri daripada kepimpinan tertinggi dewan-dewan dalam parti dari seluruh negara.

Program ini bertujuan memperkukuhkan aspek tarbiyah, ukhuwwah, dan wahdah dalam kalangan peserta, sejajar dengan usaha PAS memperkasakan kefahaman Islam yang syumul dalam perjuangan politik, dakwah dan tarbiyah. Antara pimpinan PAS Pusat yang hadir memeriahkan program ini ialah Tuan Guru Dato’ Haji Hashim Jasin, Mursyidul Am PAS, YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, YB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob, Timbalan Mursyidul Am, YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man (Dato’ TITM), Timbalan Presiden PAS, YB Datuk Idris Ahmad, Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat, serta pimpinan Majlis Syura, Harian dan AJK PAS Pusat & Harian Dewan-dewan dan Badan Perhubungan PAS Negeri-negeri.

Antara pengisian utama program ini ialah pembentangan tiga kertas kerja penting:

1. “*Ukhuwah Islamiyah Benteng Keteguhan Jemaah*” oleh YB Ustaz Datuk Idris Ahmad
Beliau menekankan bahawa ukhuwwah Islamiyah adalah asas utama yang menjadi benteng keteguhan jemaah. Ukhuwwah yang kukuh mampu memperteguhkan saf perjuangan, menepis segala anasir perpecahan, dan memastikan kelangsungan dakwah serta politik Islam di tengah-tengah cabaran semasa.

2. “*Wahdah Menuju Kemenangan*” oleh Presiden PAS, YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Tuan Guru menekankan betapa pentingnya kesatuan (wahdah) dalam membawa jemaah menuju kemenangan, bukan hanya dari sudut politik tetapi juga dalam mencapai redha Allah. Beliau menggariskan prinsip-prinsip kesatuan dalam konteks perjuangan moden, menekankan bahawa kemenangan sebenar adalah apabila Islam terus teguh di hati umat dan menjadi panduan dalam semua aspek kehidupan.

3. “Renungan Kader Dakwah: 10 Potret Terlarang Bagi Para Da’i” oleh YB Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man (Dato’ TITM)
Dalam pembentangan ini, beliau mengupas secara mendalam tentang sepuluh sikap dan amalan yang harus dielakkan oleh para da’i dalam melaksanakan misi dakwah mereka:

“Jika gelaran da’ie merupakan kedudukan dan takdir anda wahai saudaraku, maka berhati-hatilah dari 10 potret terlarang ini;”

1. Keringnya hubungan dengan Allah

2. Melazimi maksiat

3. Bersifat ego dan keakuan

4. Bangga dengan jawatan dan kuasa

5. Sibuk dengan kuasa

6. Mudah terjerumus dalam perkara syubhah

7. Tidak bersungguh dalam berjuang (da’ie pemalas)

8. Cuai tanggungjawab rumahtangga

9. Lemah ikatan ukhuwwah sesama sendiri

10. Melakukan kezaliman

 

YB Ustaz Dato’ TITM menegaskan bahawa para da’i perlu sentiasa bermuhasabah, menjaga akhlak, dan mengukuhkan hubungan dengan Allah serta sesama manusia untuk memastikan dakwah mereka berkesan dan diberkati.

Program ini diakhiri dengan Majlis Penutup Rasmi yang disempurnakan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Haji Hashim Jasin. Dalam ucapan penutupnya, beliau menekankan bahawa tarbiyah adalah tunjang kekuatan jemaah, dan ia perlu menjadi keutamaan dalam setiap peringkat kepimpinan PAS.

Beliau menegaskan:
“Tarbiyah bukan sekadar program atau pengisian, tetapi ia adalah satu perjalanan yang berterusan dalam membina jiwa mukmin sejati. Kejayaan dakwah dan politik kita berpaksikan kepada keteguhan aqidah, akhlak yang mulia, serta kesatuan hati dalam saf perjuangan.”

Tuan Guru juga mengingatkan bahawa cabaran semasa menuntut para da’i dan pemimpin PAS untuk bersedia dari segi mental, spiritual, dan strategi. Beliau menyeru agar semua ahli PAS terus istiqamah dalam perjuangan, menjaga ukhuwwah, dan sentiasa memperbaharui niat dalam setiap amal yang dilakukan.

Selain sesi pembentangan kertas kerja, program ini turut diisi dengan slot qiamulail, tazkirah, diskusi ilmiah, serta aktiviti luar bermodul yang dipimpin oleh YB Nushi Mahfodz dan Tn Haji Zaidy Abdul Talib. Modul-modul yang dijalankan sarat dengan falsafah yang perlu dihayati dalam berorganisasi seperti menekankan aspek kerjasama berpasukan, fokus dalam tugas, patuhi kepimpinan dan pentingnya semangat ukhuwah dalam bekerja. Para peserta juga berpeluang berinteraksi secara dekat sesama pimpinan parti, membincangkan isu-isu semasa serta strategi memperkukuhkan gerak kerja parti di peringkat akar umbi.

Penganjuran program di lokasi yang penuh dengan suasana alam semula jadi ini turut memberi nilai tambah kepada para peserta untuk merenung dan menghayati nilai-nilai tarbiyah dalam suasana yang tenang dan harmoni.

Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat sebagai penganjur mengucapkan terima kasih kepada pengarah dan urusetia yang terlibat menjayakan program ini juga kepada semua peserta yang memberikan sepenuh kerjasama sepanjang program berlangsung. LTPPP berharap program seperti ini dapat diteruskan di peringkat negeri dan kawasan pada masa akan datang sebagai medan pengukuhan jati diri, kefahaman perjuangan, dan semangat ukhuwah dalam kalangan ahli PAS di seluruh negara.

#MukhayyamTarbawi2025

Related Blog

Leave a CommentYour email address will not be published.