𝗞𝗘𝗟𝗘𝗕𝗜𝗛𝗔𝗡 & 𝗔𝗠𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗕𝗨𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗘𝗝𝗔𝗕
Bulan Rejab adalah salah satu bulan mulia dalam Islam yang termasuk dalam empat bulan haram yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam Al-Quran. Antara kelebihan bulan Rejab termasuklah :
𝟭. 𝗦𝗮𝗹𝗮𝗵 𝗦𝗮𝘁𝘂 𝗗𝗮𝗿𝗶𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗘𝗺𝗽𝗮𝘁 𝗕𝘂𝗹𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺
Bulan Rejab adalah salah satu daripada empat bulan haram. Kita sebagai umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amal soleh dan menjauhi dosa.
Didalam Surah At Taubah (9), pada ayat yang ke 36, Allah ﷻ telah berfirman :
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ
“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam ketetapan Allah ﷻ pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram…”
Ia juga disebutkan oleh Baginda Nabi ﷺ, sepertimana dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Al Imam Al Bukhari & Muslim رحمهما الله didalam Sohihain :
إِنَّ الزَّمَانَ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلَاثٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو الْقَعْدَةِ، وَذُو الْحِجَّةِ، وَالْمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
“Sesungguhnya waktu telah berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada dua belas bulan, di antaranya terdapat empat bulan haram, tiga berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam, dan Rejab Mudhar yang terletak di antara Jamadil Akhir dan Syaaban”
𝟮. 𝗕𝘂𝗹𝗮𝗻 𝗠𝗲𝗺𝗯𝘂𝗸𝗮 𝗝𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗠𝗲𝗻𝘂𝗷𝘂 𝗥𝗮𝗺𝗮𝗱𝗵𝗮𝗻
Bulan Rejab juga menjadi medan buat kita untuk memulakan momentum sebagai persediaan untuk menyambut Ramadhan, dengan memperbanyakkan ibadah seperti puasa sunat, zikir, dan taubat.
Antara Amalan yang Digalakkan kepada kita untuk dilakukan pada Bulan Rejab, termasuklah :
𝐢. 𝐌𝐞𝐦𝐩𝐞𝐫𝐛𝐚𝐧𝐲𝐚𝐤𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐮𝐚𝐬𝐚 𝐬𝐮𝐧𝐚𝐭
Puasa pada bulan Rejab, kita digalakkan untuk memperbanyakkan ibadah, termasuklah puasa kita kerana ia adalah sebahagian daripada ibadah yang utama. Perkara ini telah tsabit pada keumuman perintah berpuasa misalnya, sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah ﷺ dalam sebuah hadith yang diriwayatakan oleh Al Imam Abu Daud رحمه الله didalam Sunan Abi Daud :
صُمْ مِنَ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ، صُمْ مِنَ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ، صُمْ مِنَ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ
“Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah (sebahagian), berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah”
Malah dalam hadith yang lain, Rasulullah ﷺ menyebutkan tentang tuntutan dan keutamaan berpuasa di bulan haram disisi Allah ﷻ, dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Al Imam Abu Daud رحمه الله :
أَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ صِيَامُ فِي الْأَشْهُرِ الْحُرُمِ
𝐢𝐢. 𝐈𝐬𝐭𝐢𝐠𝐡𝐟𝐚𝐫 𝐝𝐚𝐧 𝐓𝐚𝐮𝐛𝐚𝐭
Pada bulan ini juga, latihlah diri kita untuk semakin kerap & memperbanyakkan istighfar serta taubat kita kepadaNya, malah ia mampu menjadi bulan permulaan kepada kita untuk melatih jiwa dan diri agar menginsafi kekurangan dan sentiasa memohon keampunan daripada Allah ﷻ
𝐢𝐢𝐢. 𝐌𝐞𝐦𝐩𝐞𝐫𝐛𝐚𝐧𝐲𝐚𝐤𝐤𝐚𝐧 𝐁𝐞𝐫𝐬𝐞𝐝𝐞𝐤𝐚𝐡
Sedekah adalah amalan yang sangat digalakkan dalam Islam, dan dalam bulan Rejab, ganjarannya lebih besar. Maka latihlah diri kita untuk bersedekah, walaupun dalam jumlah yang kecil, namun tetap istiqamah, insyaAllah ia akan menjadi amalan yang besar manfaatnya untuk kita di akhirat kelak
𝐢𝐯. 𝐌𝐞𝐦𝐛𝐚𝐜𝐚 𝐀𝐥 𝐐𝐮𝐫𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐙𝐢𝐤𝐢𝐫
Jika dibulan ramadhan, kita berusaha untuk mengkhatamkan Al Quran dan menyempurnakan wirid dan zikir kita, maka mulakan latihannya sedari awal Rejab lagi, insyaAllah ia akan menjadi kelaziman dan memudahkan kita beramal dan istiqamah dengannya selepas itu, biiznillah. Maka, perbanyakkanlah membaca Al-Quran dan berzikir seperti tasbih, tahmid, tahlil, dan istighfar bermula daripada sekarang.
#BaktiDemiSelangor #IslamAdalahPenyelesaian




















