Al-walak wal barrak

Please wait while flipbook is loading. For more related info, FAQs and issues please refer to DearFlip WordPress Flipbook Plugin Help documentation.

1. WAJIB SETIA KEPADA ISLAM

Islam sebagai Harakatul Jihad adalah dibangunkan di atas golongan beriman yang bertanzim dan mempunyai perencanaan yang teliti apabila berdepan dengan musuh-musuh yang menentangnya. Islam tidak membenarkan tindakan bersendirian yang membahayakan dakwah dan jihadnya. Oleh itu setiap muslim dalam rangka mengekalkan kesetiaannya kepada Islam wajib berada di dalam sebuah Jamaah yang berlandaskan ciri-ciri Hizbullah. Perjuangan menegakkan Islam tidak boleh dibebankan oleh sebarang agenda peribadi dan kumpulan yang mengekang kemaraannya.

Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 83 bermaksud:

Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).

Sabda Rasulullah SAW sebagai berpesan kepada pasukan pemanah yang bermaksud:

Hendaklah engkau pertahankan kami dari pasukan berkuda dengan serangan panah, agar mereka tidak menyerang kami dari belakang kami, sekiranya kami menang atau kami kalah maka tetaplah di tempatmu agar kami tidak diserang dari arahmu. Kemudian Baginda SAW bersabda kepada pasukan pemanah: Sekiranya kamu melihat kami dimakan oleh burung sekali pun janganlah meninggalkan tempat kamu ini sehinggalah aku mengutuskan kepada kamu, dan sekiranya kamu melihat kami mengalahkan kumpulan tersebut dan kami memijak mereka sekali pun, maka janganlah kamu bergerak sehingga aku mengutuskan kepada kamu. (Riwayat Al-Bukhari)

Di dalam riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Hendaklah kamu halang dari kami pasukan berkuda, maka mereka tidak menyerang kami dari belakang. Sekiranya kami menang tetaplah juga di tempat kamu agar kami tidak diserang dari arah kamu. Tetaplah di tempat-tempat kamu, jangan sekali-kali meninggalkannya. Apabila kamu melihat kami mengalahkan mereka sehingga kami dapat masuk ke penempatan tentera mereka, maka janganlah meninggalkan tempat-tempat kamu, sekali pun kamu melihat kami di makan oleh burung, janganlah bergerak sehingga aku mengutuskan kepada kamu, dan sekiranya kamu melihat kami terbunuh maka jangan datang membantu kami dan janganlah mempertahankan kami. Dan hendaklah kamu menghujani mereka dengan anak panah kerana kuda tidak akan mara bila diserang anak panah. Sesungguhnya kami sentiasa menang selama mana kamu tetap di tempat kamu. Ya Allah sesungguhnya aku bersaksi kepada Engkau atas mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Aku adalah Nabi yang berperang. (Riwayat Ahmad)

Wajib menunjukkan kesetiaan kepada Islam dan tidak melakukan khianat samada secara langsung atau secara tidak langsung. Samada pengkhianatan yang sengaja dirancang atau disebabkan oleh kecuaian dan kelalaian yang disengajakan. Firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal ayat 27 bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

Di sinilah datangnya penegasan terhadap kewajipan Al-Walak bagi membendung pengkhianatan terhadap Islam. Allah SWT menggambarkan kepada golongan yang beriman sifat-sifat pendukung Islam yang tulin bahawa mereka itu adalah golongan yang hanya berwalak kepada Allah dan RasulNya, dan kepada golongan yang beriman sahaja. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Ma’idah ayat 54-57 bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa diantara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.

Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah.

Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan ugama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan – dari orang-orang yang telah diberi Kitab sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu menjadi penolong-penolong; dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman.

Islam adalah manhaj kehidupan yang saling lengkap melengkapi, saling memberi kesan antara satu dengan yang lain. Golongan yang berkhianat terhadap Islam lantas meletakkan walak mereka kepada para penentang Islam tidak termasuk di kalangan mereka yang diberikan perjanjian untuk mendapat rahmat dari Allah SWT sekali pun mereka bersembahyang dan berpuasa. Ia adalah peringatan dari Allah tentang betapa sangat pentingnya hukum Al-Walak itu dipatuhi sebagaimana hukum-hukum Islam yang lain. Firman Allah di dalam surah At-Taubah ayat 71 bermaksud:

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha bijaksana.

2. LAWAZIMUL AQIDAH DAN MUQTADHOYATUL IMAN (TUNTUTAN- TUNTUTAN IMAN)

Kesan dari aqidah yang benar dan iman yang kuat akan membuahkan amal soleh dan menjadikan seorang mukmin bertindak selari dengan aqidah Islam yang dianutinya. Sebagai contohnya seperti sifat dan tindakan yang menjadi ciri-ciri Al- Walak. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Mujadalah ayat 22 bermaksud:

Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (ugama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (ugama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.

Firman Allah di dalam surah Ali Imran ayat 31-32 bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.

Adalah suatu keganjilan yang wajib dibetulkan apabila seorang yang mengaku beriman kepada Allah namun melakukan perbuatan yang berlawanan dengan keimanannya. Perkara yang menjadi Lawazimul Aqidah atau Muqtadhoyatul Iman adalah bukti kepada kewujudan Iman yang teguh dan benar dalam diri seseorang Mukmin. Menolak untuk melaksanakannya atau menentangnya adalah ciri-ciri zahir yang membezakan di antara golongan yang benar-benar beriman dari golongan yang berpura-pura. Sikap mengabaikan kepentingan tuntutan iman sehingga mempercayai sesiapa sahaja adalah sangat berbahaya terhadap kedaulatan Islam dan kemaslahatan ummatnya. Firman Allah SWT di dalam Surah At-Taubah ayat 67 bermaksud:

Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang- orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik.

Dalam menghuraikan tuntutan-tuntutan iman ini Al-Imam Asy-sha’rawi Rahimahullah seorang ulama besar Al-Azhar di zaman ini mengingatkan di dalam Tafsirnya:

“Apabila Allah berkata kepada orang-orang yang beriman dan menyeru mereka dengan firmanNya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, justeru ketahuilah bahawasanya yang bakal datang selepas itu adalah taklif hukum dari Al- Haq SWT… Sebaik saja apabila manusia telah beriman dengan Tuhan Yang Tunggal, maka sesungguhnya Al-Haq SWT berkata kepadanya: Selama engkau telah beriman dengan Tuhan Yang Tunggal, maka hendaklah engkau menerima dari Tuhan itu akan hukum… Selama manusia telah beriman dengan Tuhan Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana dan Maha Pencipta, Al-Qayyum, maka hendaklah ia menerima dari Tuhan itu apa sahaja yang memperbaiki hidupnya… Dan ketika seorang dokter menulis ubat kepada pesakit, sesungguhnya pesakit itu tidak boleh berkata kepada dokter: Aku tidak mahu mengambil ubat ini melainkan setelah engkau puaskan hatiku dulu dengan kebaikannya. Bahkan yang sepatutnya ialah dia melaksanakan saja apa yang dikatakan oleh dokter, demikianlah patuhnya pesakit kepada dokter, sedangkan kedua-duanya sama sahaja sebagai manusia, maka bagaimanakah pula sepatutnya adab manusia kepada Penciptanya? Sesungguhnya segala pekerjaan aqal di sisi orang mukmin adalah untuk mendorong agar beriman dengan Allah, dan setelah engkau beriman – wahai orang mukmin – dengan Allah sebagai Hakim, maka terimalah dari Allah akan sebarang hukum, kerana Ia terpercaya untuk membimbingmu lantaran engkau adalah ciptaanNya.”

Dr. A’thiyyah Saqar Rahimahullah ulama besar Al-Azhar menekankan agar perbahasan ilmu Aqidah atau apa sahaja perbahasan ilmu hendaklah disusuli dengan perlaksanaan tuntutan-tuntutan iman. Kebimbangan beliau itu bukanlah suatu hal yang tidak berasas. Kita berdepan fenomena para agamawan yang bertungkus lumus menegakkan pendirian ilmiahnya dalam permasalahan furuk namun tidak terangsang untuk menegur dan menolak pemimpin yang membelakangkan ketaatan terhadap shariat Islam dalam politik dan pentadbiran kerana menganuti fahaman Sekularisme Kristian melebihi setengah abad. Ketaatan kepada Allah dalam aspek politik dan pentadbiran serta menolak pemimpin yang menyeleweng adalah dari tuntutan-tuntutan besar keimanan. Di dalam kitab Fatwanya yang terkenal beliau berkata:

“Saya berkeyakinan wahai saudara yang bertanya bahawa selama mana kamu sebagai muslim dan mukmin lantas sudah tentu beriman terhadap kewujudan Allah, bahawa janganlah menyibukkan diri kamu dengan urusan yang tidak diperhatikan kecuali oleh ahli falsafah dan para ulama pakar sahaja yang telah menghabiskan waktu yang besar di dalam perbahasan dan perbincangan. Sedangkan kita berada dalam keadaan yang paling memerlukan kepada apa sahaja dari waktu dan usaha bagi digembelingkan pada jalan perjuangan penentuan nasib yang sedang dilalui oleh kaum muslimin umumnya pada hari ini.”

“Semoga dengan kalimah yang ringkas ini sudah memadai sebagai jawapan kepada soalan, dan kitab-kitab Tauhid dan Tafsir terdapat di dalamnya keluasan ilmu bagi orang yang inginkan penambahan, dan yang penting adalah amal dengan tuntutan iman bagi Nama-Nama Allah tersebut dan bukan berpada dengan menghafalnya sahaja atau mencukupkan bilangannya, ilmu adalah untuk beramal dan bukan untuk hafalan semata-mata.”

Kewajipan Al-Walak adalah tuntutan iman yang terpenting dalam rangka mempertahankan Islam. Ia menjadi kayu ukur yang zahir bagi keberadaan seorang muslim di dalam lingkungan pendukung Islam yang sebenar. Tidak dapat dibezakan seorang Muslim yang setia kepada Islam dari sebaliknya dengan hanya berpandukan kepada ibadah dan amalan yang kelihatan soleh pada zahirnya. Golongan munafiqun di zaman Nabi SAW bersembahyang bersama Baginda SAW namun mereka sangat memusuhi Islam dan menentang keras dakwah Baginda SAW. Asy-Sheikh Said Hawwa menegaskan hakikat ini dalam bukunya Jundullah Tsaqafatan wa Akhlaqan. Beliau berkata:

“Tiada di sana suatu apa pun yang dapat mempastikan keadaan seorang insan benar-benar dari kalangan Hizbullah atau Hizbu Syaitan seumpama Al-Walak, maka bukannya solat, dan bukannya zakat, dan bukannya mengerjakan Haji, dan bukannya puasa, dan bukannya amalan-amalan Islam dari selain itu yang dapat menjadikannya dari kalangan Hizbullah apabila telah rosak walaknya. Dan apabila betul walaknya maka sesungguhnya ia adalah termasuk di kalangan Hizbullah sekali pun berlaku kekurangan di dalam amal. Di dalam hadith (Barangsiapa memisahkan diri dari jamaah dengan qadar sejengkal sahaja maka sesungguhnya dia telah mencabut ikatan Islam dari tengkuknya, sekali pun dia bersembahyang dan berpuasa dan menyangkakan bahawa dia adalah seorang Muslim.) Menegaskan pula makna yang telah kami sebutkan ini banyak daripada ayat-ayat AlQuran. Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla telah berfirman dalam menerangkan sifat golongan munafik dalam surah An-Nisa’ ayat 138-139 bermaksud:

(Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; (iaitu orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya).

3.MEMBEBASKAN WALAK UNTUK ALLAH, RASUL SAW DAN GOLONGAN BERIMAN YANG JUJUR TERHADAP ISLAM SAHAJA

Pengkhianatan yang berterusan terhadap Islam dan ummatnya tidak dapat dikekang apabila kesedaran mengenai hukum Al-Walak diabaikan. Apatah lagi di zaman manusia menganuti ideologi yang mengajarkan kebebasan bersuara dan hak asasi secara sekular. Pengkhianatan diberikan sanjungan dan pujian serta habuan kebendaan terutamanya apabila membantu penyebaran dan pengukuhan agenda- agenda musuh-musuh Islam. Dengan pengabaian itu tiada lagi sifat kewaspadaan kepada unsur-unsur penentangan terhadap Islam.

Asy-Sheikh Said Hawa Rahimahullah dalam kitabnya Jundullah Tsaqafatan wa Akhlaqan telah mengingatkan tentang gejala yang pelik di kalangan umat Islam pada hari ini. Beliau menjelaskan mengenai pergerakan musuh-musuh Islam di dalam negeri-negeri umat Islam:

“Pergerakan itu samada dalam bentuk berkerja secara langsung dengan agensi perisikan Barat, atau wujudnya organisasi-organisasi Komunis pada setiap daerah umat Islam, atau pertubuhan-pertubuhan Freemason dan kelab-kelabnya yang sangat banyak dengan kesungguhan dan kekuatan dananya, atau dalam bentuk sekolah-sekolah dan yayasan-yayasan Tabsyiriah yang semuanya berhubungan dengan gerakan-gerakan di luar negara, atau parti-parti politik nasionalis dan individu-individu berpengaruh yang lazimnya mereka dibelakangi oleh tali barut-tali barut yang berkerja menyebarkan pemikiran atau agenda politik golongan Kuffar, atau yayasan-yayasan pendidikan dan kajian strategik yang mendapat bantuan dana dari luar, atau dalam bentuk golongan minoriti di setiap negeri umat Islam yang cuba digembelingkan untuk kepentingan asing, atau munculnya orang-orang yang berputar dalam paksi yang sama dengan semua bentuk-bentuk yang telah lalu yang membantu samada dengan pengetahuan atau tanpa pengetahuan, atau dalam bentuk generasi baru yang lahir dan dikaderkan oleh kumpulan-kumpulan mereka dan seumpama mereka, kadang-kadang generasi baru ini berkerja dengan sukarela memainkan peranan golongan tersebut dengan penuh bersemangat ketika bersendirian. Atau dalam bentuk yang paling ganas berbanding semua yang terdahulu bahkan yang paling banyak kekejiannya adalah gerakan Zionisme antarabangsa dan agensi-agensi yang berkerja bagi kepentingan Yahudi di setiap tempat dan daerah kaum Muslimin.”

Secara asasnya tidak kurang dari sepuluh bentuk keadaan ganjil dan pelik yang sedang berlaku di negeri-negeri Umat Islam. Ia menjadi suatu keganjilan kerana kewujudannya di dalam dunia Islam yang sudah tentu bergerak dengan bantuan orang-orang Islam sendiri. Sedang semua entiti-entiti ini berkerja untuk mengekang Islam dan melemahkan ummatnya. Sebahagian mereka adalah orang-orang Islam yang secara sengaja mengabaikan tuntutan-tuntutan iman, tidak setia kepada Islam dan memberi walak kepada musuh-musuhnya.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Mujadalah ayat 22 bermaksud:

Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (ugama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (ugama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.

Maka itu menimbulkan kesedaran yang tinggi mengenai hukum Al-Walak dan mengembalikan Walak kepada Allah dan Rasul SAW serta golongan yang beriman adalah menjadi agenda dakwah yang tidak boleh diabaikan.

Hendak diketahui dengan jelas bahawa walak kepada Allah ialah dengan menyembahNya dan mematuhi ajaran yang terkandung di dalam AlQuran, dan walak kepada RasulNya SAW ialah dengan meninggikan sunnahnya dan mendukung dakwahnya, manakala walak kepada golongan yang beriman ialah dengan meletakkan kepada mereka seluruh ciri-ciri Walak yang disebut di dalam AlQuran dan Sunnah terutamanya kepada para ulama Amilin, golongan solihin, dan para pendakwah di jalan Allah kerana mereka itu adalah golongan mukminin yang khusus. Maka menurut Asy-Sheikh Said Hawwa Rahimahullah adalah menjadi kewajipan kita bersikap demikian terhadap golongan yang beriman:

1. Menolong orang-orang yang beriman dan bukan mengabaikan keadaan mereka.
2. Kita sehidup semati dengan mereka.
3. Kita tidak mengikuti kehendak orang yang kafir dalam hal yang merugikan mereka.
4. Kita tidak teragak-agak memberikan rahsia Kuffar kepada golongan beriman.
5. Kita menyintai golongan beriman, mesra kepada mereka dan menyokong mereka.
6. Kita mendampingi mereka dan melihat mereka sebagai golongan terhormat kitaserta meramaikan kumpulan mereka.
7. Kita mematuhi kepimpinan mereka dalam politik dan amal.
8. Kita mengikuti penampilan mereka lantaran ia bermakna mencontohi Rasulullah

SAW kerana Baginda adalah ikutan mereka.

Asy-Sheikh Said Hawwa Rahimahullah menegaskan:

“Sekarang sesungguhnya kita telah mengetahui bahawa seorang Muslim tidak menjadi muslim yang sebenar selama mana ia tidak membebaskan walaknya untuk dikembalikan kepada Allah, RasulNya SAW dan golongan beriman, dan bahawa sesungguhnya tidak harus memberikan walaknya kepada sebarang ikatan walau apa pun jenisnya selain dari ikatan Islam sahaja, dan bahawa sesungguhnya tidak harus memberikan walaknya kepada golongan kuffar dan munafiqin.”

4.BEBERAPA CIRI UTAMA AL-WALAK MENURUT ALQURAN DAN SUNNAH

Mazahir Al-Walak atau ciri-ciri Al-Walak yang terkandung di dalam AlQuran dan Sunnah Baginda SAW dapat secara ringkasnya diperincikan kepada tujuh ciri yang utama menurut Asy-Sheikh Said Hawwa Rahimahullah. Tujuh ciri tersebut adalah: 1. Memberikan pertolongan 2. Menjaga kerahsiaan 3. Kecintaan dan kemesraan 4. Kebersamaan 5. Ketaatan 6. Penyerupaan 7. Keanggotaan. Berdasarkan keterangan AlQuran dan Sunnah ketujuh-tujuh ciri Al-Walak ini diharamkan kepada golongan Kuffar dan Munafiqin.

1.Ciri memberikan pertolongan: Tidak dibenarkan memberi sebarang bentuk pertolongan kepada kerja-kerja yang menentang Islam dan merugikan Islam.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Hasyr ayat 11 bermaksud:

Tidakkah engkau melihat dan merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang munafik itu? Mereka tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir dari kalangan (kaum Yahudi) ahli Kitab: “Sesungguhnya kalau kamu dihalau keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu, dan kami tidak akan tunduk taat kepada sesiapa pun untuk menentang kamu selama-lamanya; dan kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela kamu!”

Asy-Sheikh Said Hawwa Rahimahullah berkata:

“Termasuk di dalam jenis ini dari al-Walak ialah perbuatan-perbuatan banyak ahli- ahli politik yang mempertahankan golongan kuffar dan mulhid, samada individu- individu, atau kumpulan-kumpulan, atau parti-parti politik, dan termasuk juga perbuatan-perbuatan setiap orang yang menganggotai parti yang menyeleweng yang didirikan di atas ikatan selain ikatan Islam.”

2. Ciri Menjaga Kerahsiaan: Tidak dibenarkan mendedahkan rahsia golongan yang beriman kepada para penentang Islam.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 1 bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita- berita rahsia orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka.

Asy-Sheikh Said Hawwa Rahimahullah berkata:

“Maka pendedahan kepada golongan kuffar akan rahsia-rahsia golongan beriman untuk menggagalkan rencana-rencana golongan beriman atau untuk melindungi golongan kuffar dari golongan beriman adalah jenis walak yang mengeluarkan dari iman.”

Walak yang diberikan kepada golongan Kuffar dan Munafiqin akan mengeluarkan seseorang itu daripada Islam apabila menyebabkan terjadinya iktiqad atau ucapan atau perbuatan yang membatalkan Dua Kalimah Syahadah.

3.Ciri Kecintaan Dan Kemesraan: Tidak boleh menyintai dan menunjukkan kemesraan kepada golongan kuffar dan sesiapa pun yang menzahirkan permusuhan dan penentangannya terhadap Islam bahkan wajib menghapuskan kecintaan di dalam hati (al-Mawaddah Al-Qalbiyyah) dan mengukuhkan hubungan hati dan lahiriah terhadap kekasih-kekasih Allah. Ada pun sekadar melakukan perkara yang makruf sahaja adalah dari akhlak yang dituntut oleh Islam.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Mujadalah ayat 22 bermaksud:

Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya.

Asy-Sheikh Said Hawwa Rahimahullah berkata:

“Dan telah berkata Ibnu Mas’ud Rdh ( Sekiranya seseorang menyembah akan Allah antara hijr dan maqam tujuh puluh tahun sekalipun, Allah tidak akan membangkitkannya melainkan bersama dengan orang yang ia kasih) Maka apabila keadaanmu mendapati seorang insan di mana perasaannya bersama dengan orang- orang yang kafir dan munafiqin, cenderung kepada mereka dan menyintai mereka, dan berharap kemenangan mereka, maka itulah dia walak dari sebesar-besar walak.”

4.Ciri Kebersamaan:

Tidak boleh duduk semajlis dengan golongan kuffar dan munafiqin dengan sengaja, dan mendengar perkataan mereka yang memburukkan Islam secara berterusan tanpa menolak atau bersikap marah atau keluar meninggalkan mereka.

Firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisa’ ayat 140 bermaksud:

Dan sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu (perintahnya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu; apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allahdiingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekelian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka Jahannam.

Asy-Sheikh Said Hawwa Rahimahullah berkata:

“Dan termasuk dalam ciri walak ini gambaran yang banyak, antaranya seorang insan yang menyertai kelab orang-orang kafir, atau kelab orang mulhid, atau kelab orang yang menganjurkan pornografi, atau kelab penyembah nafsu, atau menyertai demontrasi seumpama mereka, atau menghadiri kelab mereka atau pertemuan mereka, atau pusat-pusat seruan mereka, atau menghadiri perayaan-perayaan mereka, atau mendengar syarahan-syarahan mereka kecuali apabila ditugaskan…

Dan termasuk dalam ciri walak ini menganggotai parti yang sesat lagi kafir dan menyokong calon-calonnya dan mengundi mereka. Yang demikian itu adalah sebesar-besar jenis walak yang berlaku di zaman kita.”

5. Ciri Ketaatan: Mentaati musuh-musuh Islam dari kalangan kuffar dan munafiqin adalah sebesar-sebesar sebab yang mendedahkan kepada kerosakan iman.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-ahzab ayat 48 bermaksud:

Dan janganlah engkau menurut kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan janganlah engkau hiraukan usikan dan celaan mereka.

Asy-Sheikh Said Hawwa Rahimahullah berkata:

“Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla telah mengharamkan keatas kita mentaati berbagai kategori orang-orang kafir dan munafik agar kita tidak tergolong di kalangan mereka. Allah menjadikan ketaatan kepada mereka sebagai satu kemurtadan.

Firman Allah di dalam Surah Muhammad ayat 25-26 bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang telah berbalik kepada keingkaran mereka sesudah terang nyata kepada mereka kebenaran petunjuk (yang dikemukakan kepadanya), syaitanlah yang memperdayakan mereka (berlaku demikian), serta memanjangkan angan-angan mereka.

Berlakunya yang demikian ialah kerana mereka berkata kepada orang-orang yang tidak menyukai perkara yang diturunkan oleh Allah: “Kami akan patuh kepada kamu pada setengah perkara (yang berhubung dengan menentang Muhammad dan pengikutnya) itu; sedang Allah mengetahui segala (perkataan dan perbuatan) yang mereka sembunyikan.”

6. Ciri Penyerupaan: Daripada ciri Al-Walak juga adalah at-tasyabbuh.
Sesungguhnya ditegah kepada golongan beriman menyerupai orang-orang kafir pada perkara yang menjadi syi’ar khusus bagi mereka atau yang melambangkan kekufuran mereka.

Sabda Rasululah SAW yang bermaksud: Barangsiapa menyerupai suatu kaum maka ia tergolong dari kalangan mereka. (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Thabarani)

Asy-Sheikh Said Hawwa Rahimahullah berkata:

“Barangsiapa menyerupai dengan Rasulullah SAW dan para sahabatnya maka sesungguhnya dia telah berwalak kepada mereka dan dia adalah dari kalangan mereka. Dan barangsiapa yang menyerupai orang-orang kafir maka dia adalah termasuk dalam kalangan mereka seperti orang-orang yang tersebut yang mengikut gaya misai stalin, atau misai para pelakon (kafir), atau mengikut kumpulan Beetles, atau meletakkan lencana gerakan komunis, atau salib orang-orang Kristian, atau apa sahaja yang khusus bagi orang-orang kafir, dan syi’ar kepada mereka daripada adat-adat dan tradisi-tradisi. Apabila menyerupai dengannya seorang manusia maka itu adalah satu jenis daripada walak kepada ahlinya, dan ia justeru itu adalah suatu bentuk nifak.”

7. Ciri keanggotaan: Menyertai parti-parti politik yang menentang Islam adalah dari jenis walak yang diharamkan.

Asy-Sheikh Said Hawwa Rahimahullah berkata:

“Adalah sangat berkemungkinan ciri amali yang terbesar bagi walak yang diharamkan yang dengannya mengeluarkan pelakunya dari Islam di zaman kita, ialah walak kepada parti politik yang lain dari parti yang mendukung agama Allah, walau apa pun jenis parti tersebut dan asas yang ia dibangunkan atasnya, selama mana ia tidak menampilkan padanya sifat-sifat Hizbullah dan akhlak-akhlaknya dan tujuan-tujuannya. Ini adalah kerana kepartian semasa adalah dibangunkan di atas perletakan walak yang lengkap kepada cabang-cabangnya semuanya untuk parti dan kepimpinannya., tanpa sebarang perasaan teragak-agak walau apa pun jenis kepimpinan itu, dan tabiat individu-individunya dan prinsip-prinsipnya….

Sesungguhnya gerak kerja politik keislaman yang betul ialah gerak kerja yang tidak menentang Islam dan dalam waktu yang sama ia mendukung tujuan-tujuannya dan jalannya, seumpama inilah sahaja yang boleh diberikan Al-Walak ”

5. AL-BARRAK

Al-Barrak memberi pengertian sebagai menjauhi, melepaskan diri dan permusuhan. Dalam konteks gerakan Islam selaku gerakan dakwah para ulama mengambil pendirian sederhana dan bersifat spesifik serta menjauhi orientasi aqidah bagi mazhab tertentu dalam menilai konsep Al-Barrak. Kemaslahatan dakwah dan tabiat perjuangan Islam menolak sebarang pendekatan mafhum Al-Barrak yang bersifat keras, takfiri dan memencilkan Harakah Islamiyyah. Di Malaysia dalam rangka memperkukuhkan dakwah dan perjuangan Islam langkah-langkah yang bersungguh-sungguh telah diambil oleh YB. Tuan Guru Tan Seri Haji Abdul Hadi Awang Presiden PAS bagi memperkenalkan Budaya Politik Matang Sejahtera. Dalam hal ini Asy-Sheikh Said Hawwa Rahimahullah mengingatkan:

“Dan jalan yang panjang bermula dengan satu langkahan, dan hendaklah kita memperkukuhkan dari mula perletakan kakinya pada permulaan jalan kepada Allah sehinggalah kepada penghujung jalan. Hendaklah kita sangat berwaspada dari sikap berotak singkat dan sempit pandangan serta mengharapkan kesempurnaan dalam sekelip mata, dan dari sikap bermusuhan terhadap sesiapa yang tidak bersetuju dalam semua perkara dengan kita selepas ia memenuhi akan sifat-sifat Hizbullah, dan dari sikap menyakiti ahli-ahli yang baru lantaran semua perbuatan itu memberi kesan buruk kepada usaha memperluaskan pengaruh Islam. Sesungguhnya setiap individu HizbulLah hendaklah menjadi alat yang menolak perjuangan ke hadapan, bukannya alat yang menarik perjuangan ke belakang atau menghentikannya dalam keadaan beku.

Sesungguhnya dakwah kepada Islam yang betul walau apa pun jambatan dari jambatan-jambatannya, seorang insan menyeberang melaluinya dari Jahiliah kepada Islam. Adalah satu kemestian kepada kita untuk tidak meruntuhkan jembatan-jembatan itu sekiranya kita benar-benar beraqal dan benar-benar ikhlas. Hanya sanya yang perlu kita usahakan ialah agar seseorang tidak kekal di atas satu jembatan melainkan ia telah menyeberang kepada hakikat-hakikat Islam dan akhlaknya untuk menjadi sebahagian dari golongan Hizbullah yang sebenar. Yang demikian itu adalah matlamat besar yang dengannya bakal tercapai semua perkara, dan tanpanya tidak tercapai walau satu apa pun.”

Asy-Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi di dalam bukunya Harakah Islamiah Satu Tuntutan ketika menghuraikan halangan-halangan yang melemahkan dakwah yang berpunca dari dalam pergerakan sendiri berkata:

“4. Mengasingkan diri dari rakyat massa.

Yang dimaksudkan di sini ialah pergerakan menjadi terasing dan tertutup. Seolah- olah ia mendirikan benteng yang memisahkannya dari masyarakat dari sebuah pergerakan khusus bagi satu kumpulan tertentu seperti satu puak agama yang mempunyai mazhab dan matlamat yang khusus. Sedangkan seharusnya ia menyuarakan Islam yang menyeluruh. Islam yang berdasarkan AlQuran dan Sunnah; mewakili umat Islam dalam setiap negara.”

Selanjutnya Asy-Sheikh Said Hawwa Rahimahullah pada penghujung huraian beliau berkaitan Al-Walak telah memberikan garis panduan yang jelas dalam persoalan Al- Barrak di sisi gerakan Islam. Beliau Rahimahullah berkata:

“Sesungguhnya selagimana kita belum memberikan walak kita kepada golongan beriman maka kita telah melakukan dosa, dan perbuatan kita memberikan walak kepada selain mereka adalah satu kesesatan, dan tiada di sisi kita dalam ajaran Islam sikap berkecuali yang diterima di sisi Allah. Justeru itu barangsiapa yang tidak bersama kaum Muslimin bukanlah dari kalangannya, akan tetapi mereka tidak menganggapnya menentang mereka sehinggalah ia memerangi atau menzahirkan permusuhan.

Firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisa’ ayat 90 bermaksud:

Kecuali orang-orang yang pergi (meminta perlindungan) kepada suatu kaum yang ada ikatan perjanjian setia antara kamu dengan mereka, atau orang-orang yang datang kepada kamu sedang hati mereka merasa berat hendak memerangi kamu atau memerangi kaumnya. Dalam pada itu, jika mereka membiarkan kamu (dengan tidak mengancam atau mengganggu), serta mereka tidak memerangi kamu dan mereka menawarkan perdamaian kepada kamu, maka Allah tidak menjadikan bagi kamu sesuatu jalan (yang membolehkan kamu memerangi atau menawan) mereka.”

Justeru itu sikap dan langkah Al-Barrak yang tegas tidak diambil kecuali apabila permusuhan terhadap Islam di zahirkan dan para penentang Islam menunjukkan sikap ekstrem mereka. Langkah-langkah yang lunak inilah yang menjadi pembawaan PAS dalam Muwajahah Silmiyyah Harakah Islamiyyah di Malaysia.

Related Blog

Leave a CommentYour email address will not be published.