Please wait while flipbook is loading. For more related info, FAQs and issues please refer to DearFlip WordPress Flipbook Plugin Help documentation.
Muqaddimah
Manusia adalah ciptaan Allah SWT yang paling istimewa berbanding makhluk-makhluk Allah yang lain. Walaupun makhluk-makhluk Allah SWT yang lain lebih besar dan hebat saiznya daripada manusia, seperti langit, bumi, lautan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain, namun Allah SWT memberikan sifat-sifat khusus untuk manusia yang membolehkannya menanggung amanah Allah SWT yang tidak mampu ditanggung oleh makhluk-makhluk yang lain. Ketidakmampuan makhluk-makhluk lain menerima amanah ini dapat dilihat menerusi firman Allah SWT,
“Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung; tetapi semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khawatir tidak akan melaksanakannya (berat), lalu dipikullah amanah itu oleh manusia. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh.”
[Al-Ahzab: 72]
Tugasan manusia
Manusia dicipta Allah SWT dengan sebaik kejadian bagi menyempurnakan tugasan kekhalifahan yang disanggupinya sejak alam ruh lagi. Allah SWT bertanya kesanggupan manusia dengan firmannya,
“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang- orang yang lalai terhadap ini (keesaan Tuhan)”.”[Al-Araf: 172]
Manusia dibekalkan oleh Allah SWT, bukan sekadar fizikal luaran yang indah. Tetapi juga dalaman atau jiwa yang menguasai aktiviti kehidupan sehariannya. Sangat penting bagi setiap manusia memberikan tumpuan dan pemeliharaan yang betul kepada kedua-dua unsur tersebut iaitu fizikal dan spiritual, ataupun tubuh badan dan jiwa rohani. Kedua-dua unsur ini perlu dipelihara dan diberi makanan yang sesuai mengikut fitrah kejadian masing- masing. Bahkan unsur dalaman atau rohani manusia sangat-sangat perlu dititik beratkan lebih daripada unsur fizikal atau luaran. Ini berdasarkan sabda baginda Rasullulah SAW yang bermaksud,
“Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Sekirannya daging itu baik, maka baiklah seluruhnya. Apabila ia buruk, maka buruklah segalanya, ketahuilah itulah yang dikatakan hati.” [HR Bukhari & Muslim]
Sabda Rasullulah SAW ini mengingatkan kita bahawa hati atau ruh manusia amat berperanan dalam menentukan kebaikan dan kejahatan dirinya.
Didikan hati
Oleh itu amatlah penting hati yang menjadi raja dalam jasad manusia, diberikan asuhan dan didikan, agar ia dapat membawa manusia ke jalan yang diredhai Allah SWT.
Pengarang kitab Petunjuk Nabawi bagi Hati, Dr Sharaf al-Qudha mengkategorikan hati kepada beberapa bahagian. Antaranya ialah hati yang sejahtera, hati yang sakit dan hati yang mati.Hati yang sejahtera adalah hati yang sentiasa memilih kebaikan dan keredhaan Allah SWT sahaja. Manakala hati yang sakit ialah hati yang cenderung kepada kejahatan dan kemurkaan Allah SWT. Hati yang mati pula, adalah hati yang sukar diubati lagi, kerana ia telah tertutup dengan kesesatan dan tidak berdaya menerima perintah Allah SWT. Allah SWT berfirman yang menjelaskan mengenai hati yang mati ini,
“Maka apakah orang-orang yang dibukakan hatinya oleh Allah untuk (menerima) agama Islam lalu dia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang hatinya membatu)? Maka celakalah mereka yang hatinya telah membatu untuk mengingat Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.” [Az-Zumar: 22]
Definisi
Tarbiyyah Ruhiyyah bolehlah dimaksudkan sebagai satu proses membentuk dan mendidik hati atau ruh manusia agar sentiasa ingat, hampir dan rapat dengan penciptanya yang Maha Esa, iaitu Allah SWT. Seperti kehendak Allah SWT dengan firmannya,
“Sesungguhnya orang-orang yang sempurna imannya adalah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal.” [Al-Anfal: 2]
Hati atau ruh yang sentiasa terpaut kepada Allah SWT, adalah merupakan usaha yang mesti dilakukan sedaya-upaya oleh setiap diri yang inginkan kebahagiaan dan kerjayaan di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang (boleh) mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah (berjuanglah) di jalan-Nya,supaya kamu mendapat kejayaan.” [Al-Maidah: 35]
Kepentingannya
Antara kepentingan Tarbiyyah Ruhiyyah ialah:
1. Mengukuhkan semangat juang.
Perjuangan menegakkan Islam dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia amnya bukanlah suatu kerja yang mudah atau dihampari dengan permaidani merah. Ia adalah kerja yang penuh ranjau dan berliku-liku, serta memerlukan pelbagai pengorbanan. Ada waktu jiwa merasa kepenatan, kekecewaan, kekeliruan dan sebagainya, seperti firman Allah SWT dalam mentarbiyyah generasi Islam awalan: ً َ ً َ َ ْ َّ
اِنا َسنُلِق ْي َعلْي َكقْولْثِقْيلْ
“Sesungguhnya Kami akan menurunkan wahyu yang berat (Al-Quran) kepadamu.”
[Al-Muzammil: 5]
Segala titah perintah Allah SWT di dalam Al-Quran, bukanlah suatu perkara yang mudah untuk ditunaikan. Bahkan ia susah diterima, kerana bertentangan dengan nafsu manusia. Ia hanya akan dapat dilaksanakan oleh manusia beriman yang mahu meraih keuntungan di dunia dan akhirat. Ia juga akan diperjuangankan dengan bersungguh-sungguh tanpa ragu-ragu oleh mereka yang benar-benar beriman dan yakin pada Allah SWT. Lalu tarbiyyah ruhiyyah adalah jalan dan cara pengukuhan semangat juang bagi pejuang-pejuang di jalan-Nya.
2. Mudah meraih bantuan Allah SWT
Hamba yang rapat dan dekat dengan Allah SWT, iaitu yang sentiasa mendidik atau mentarbiyyah ruhnya untuk sentiasa mengingati dan mentaati Nya, akan sangat mudah mendapat bantuan-Nya. Hanya dengan bantuan dan izin Allah SWT sahajalah pejuang-pejuang akan mencapai kejayaan. Firman Allah SWT,
َوَما َجَعلَهُ هاللُّٰاَِّلْبُْشٰرىلَُكْمَوِلتَْطَمِٕىَّنقُلُْوبُُكْمِبٖهَُۗوَماالنَّ ْصُراَِّلِْمْن ِعْنِد
“Dan Allah tidak menjadikannya (pemberian bala-bantuan itu) melainkan sebagai khabar gembira bagi (kemenangan)mu, dan agar hatimu tenang kerananya. Dan tidak ada kemenangan itu, selain dari Allah Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana.” [Ali ‘Imran: 126]
Firman Allah SWT juga,
“Dan sungguh, Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu (ketika itu) dalam keadaan lemah. Karena itu bertakwalah kepada Allah, agar kamu mensyukuri-Nya” [Ali ‘Imran: 123]
Firman Allah SWT lagi,
َبِل هاللَُّٰمْوٰلىُكْمَۚوُهَو َخْيُرالنهِصِرْيَن
“Tetapi hanya Allah-lah pelindungmu, dan Dialah sebaik-baik penolong.” [Ali ‘Imran: 150]
3. Melahirkan peribadi yang berakhlak mulia, berjiwa halus dan penyayang.
Tarbiyyah ruhiyyah akan melahirkan manusia berjiwa halus dan berpribadi mulia. Manusia ini akan menjaga hubungannya dengan Allah SWT (hablumminallah) dan hubungannya dengan manusia (hablumminannas).
Firman Allah SWT,
“Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa- bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.” [Al-Hujurat: 13]
Ahli-ahli gerakan Islam yang berakhlak mulia dengan berjiwa halus dan penyayang merupakan asset berharga kerana akan mudah menarik manusia lain untuk mengikuti kalam atau dakwahnya. Firman Allah SWT,
“Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Karena itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakal.” [Ali ‘Imran: 159]
4. Mententeramkan jiwa dan dapat bertenang serta berkeberuntungan dengan segala ujian kehidupan duniawi.
Tarbiyyah ruhiyyah akan melahirkan pejuang-pejuang yang berjiwa tenang dan berjaya dalam menghadapi tribulasi perjuangan hidup ini. Firman Allah SWT,
الَِّذْيَنٰاَمنُْوا َوتَ ْطَمِٕىُّنقُلُْوبُُهْم ِبِذْكِر هاللُِّٰۗاََلْ ِبِذْكِر هاللِّٰتَ ْطَمِٕىُّناْلقُلُْو ُب
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.” [Ar-Rad’: 28]
Serta firman Allah lagi,
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu pasukan (musuh), maka berteguh hatilah dan sebutlah (nama) Allah banyak-banyak (berzikir dan berdoa) agar kamu beruntung.” [Al-Anfal: 45]
5. Jalan menuju redha dan taqw Allah.
Tidak dapat dinafikan tarbiyyah ruhiyyah adalah proses menjadikan manusia menuju kondisi yang lebih cemerlang dalam segala hal. Sungguh manusia itu telah dicipta Allah SWT sebagai makhluk yang sempurna. Tarbiyyah ruhiyyah akan menjadikan hamba-hamba Allah tidak lari daripada matlamat penciptaannya iaitu pengabdian yang mutlak terhadap Allah SWT.
Firman Allah SWT,
Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik- baiknya, kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan; maka mereka akan mendapat pahala yang tidak ada putus-putusnya.[At-Tin: 4-6]
Taqwa sebagai jalan
Taqwa adalah matlamat Tarbiyyah Ruhiyyah. Menurut Dr Abdullah Nashih Uluwan dalam bukunya, Tarbiyyah Ruhiyyah ada 5 faktor penting dalam mencapai makam taqwa. Seseorang itu perlu melalui proses-proses berikut:
1. Mu’ahadah
Pejuang-pejuang gerakan Islam perlu sentiasa mengingati janjinya dengan Allah SWT semasa berada di alam ruh iaitu untuk memberikan seluruh ketaatannya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT,
“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman):
“Bukankah Aku ini Tuhanmu?”
Mereka menjawab:
“Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lalai terhadap ini (keesaan Tuhan) [Al-A’raf: 172]
InsyaAllah dengan mengingati mu’ahadah ini, seseorang itu akan tetap beristiqamah menjunjung tuntutan Islam.
2. Muraqabah
Iaitu sentiasa merasai keberadaan dan pemerhatian Allah SWT pada setiap masa dalam setiap gerak-gerinya. Dengan adanya usaha muraqabah pejuang-pejuang Islam tidak mudah terpengaruh dengan tarikan nafsu dan dunia.
3. Muhasabah
Iaitu selalu memperhitungkan segala amalan yang dilakukannya. Adakah ia dilakukan semata-mata kerana Allah SWT, atau untuk mendapat pujian manusia atau apa-apa matlamat keduniaan. Dengan selalu bermuhasabah, kita akan bebas daripada penyakit-penyakit hati seperti riak, hasad dengki dan lain-lain.
4.Mujahadah
Iaitu bersungguh-sungguh melaksanakan segala ketaatan serta berusaha melipatgandakan segala kebaikan yang telah dilaksanakan. Hal ini menjadikan pejuang-pejuang kebenaran akan sentiasa termotivasi untuk istiqamah dalam ketaatan.
5. Mu’aqabah
Iaitu mendenda diri sendiri apabila gagal melaksanakan amal kebajikan yang dikehendaki. Semoga usaha mu’raqabah ini akan menjadikan kita serik melakukan perbuatan-perbuatan dosa.
Pengisian Tarbiyyah Ruhiyyah
Dalam mencapai matlamat Tarbiah Ruhiyyah iaitu keintiman, ketaqwaan dan pengabdian yang total terhadap Allah SWT, beberapa peribadatan ini perlulah diberikan perhatian utama dengan melaksanakannya dengan sebaik-baiknya. Amalan-amalan soleh tersebut ialah:
1. Solat
Kedudukan solat dalam Islam adalah sangat-sangatlah penting dan utama. Solat dikira sebagai tiang agama. Sesiapa yang mendirikannya bermakna mendirikan agama, dan sesiapa yang tidak mendirikannya pula adalah meruntuhkan agama. Solat juga adalah pembatas antara iman dan kufur. Sedekat-dekat hamba kepada Allah SWT adalah ketika sujud dalam solatnya. Matlamat solat adalah untuk mengingati Allah SWT, seperti firmannya,
“Sungguh, Aku ini Allah, tidak ada tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku.”
[Taha: 14]
Solat adalah ibadah istimewa. Baginda SAW telah menerimanya sendiri daripada Allah SWT di Sidratul Muntaha dalam peristiwa Isra’ Mi’raj. Solat juga adalah pencegah perangai-perangai kekejian dan kemurkaan. Firman Allah SWT,
“Bacalah Kitab (Al-Qur’an) yang telah diwahyukan kepadamu (Muhammad) dan laksanakanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. Dan (ketahuilah) mengingat Allah (solat) itu lebih besar (keutamaannya dari ibadah yang lain). Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Al-Ankabut: 45]
Aplikasi solat adalah sebanyak 17 rakaat solat fardhu, ditambah dengan solat-solat rawatib, solat dhuha, solat hajat dan lain-lain. Bagi lelaki muslim
perlulah diusahakan sedaya-upaya solat fardhu secara berjemaah di masjid-masjid.
2. Puasa
Puasa adalah perisai diri hamba-hamba Allah SWT
Puasa Ramadhan adalah puasa yang difardhukan oleh Allah SWT untuk menjadikan hamba-hambanya orang yang bertaqwa. Puasa juga membentuk jiwa penyayang kepada pejuang-pejuang kebenaran. Puasa melatih untuk bersabaran dalam berdepan dengan pelbagai gelojak nafsu. Puasa membimbing sifat ikhlas di hati pejuang kepada Allah SWT. Lalu puasa-puasa sunat juga sangat-sangat digalakkan untuk melaksanakannya.
3. Sedekah
Sedekah dapat membersihkan jiwa daripada kebakhilan dan cinta dunia. Ia juga mewujudakan sifat saling menyayangi sesama insan. Sedekah berterusan membina tawakal diri kepada kemurahan Allah SWT. Sedekah menggamit kasih Allah SWT kepada pelaku-pelakunya.
4. Qiamullai
Solat paling utama selepas solat fardhu adalah qiamullai. Ia adalah sarana rohani paling utama untuk dakwah Baginda SAW dan para sahabat. Salah satu karakter utama bagi orang-orang yang beriman dan bertaqwa adalah berqiamullai. Qiamullai juga adalah waktu mustajab berdoa dalam mengharapkan kerjayaan perjuangan Islam. Oleh itu, peluang berqiamullai pada setiap malam perlulah diusahakan oleh mereka yang mengharapkan kejayaan dunia dan akhirat.
5. Zikrullah
Ia adalah perintah Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah kepada Allah, dengan mengingat (nama-Nya) sebanyak-banyaknya
Dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.” [Al-Ahzab: 41-42]
يْٰٰٓاَيَُّهاالَِّذْيَنٰاَمنُوااْذُكُروا هاللَِّٰذْكًراَكثِْيًرا
Zikrullah juga mendatangkan keuntungan dan kebahagian dalam kehidupan. Firman Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah dan sebutlah (nama) Allah banyak-banyak agar kamu beruntung.” [Al-Anfal: 45]
Zikrullah juga menjauhkan diri dari sifat lalai. Firman Allah SWT,
“Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkankan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, pada waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” [Al-A’raf: 205]
Ia juga cara untuk mendapatkan ingatan Allah SWT terhadap kita.
“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat (pula) kepadamu dan bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) Ku” [Al-baqarah: 152]
Kita sebenarnya amat mendambarkan ingatan Allah yang Maha Sempurna terhadap kita. Antara zikir utama ialah istighfar sebanyak-banyaknya, memohon keampunan daripada Allah SWT.
6. Doa
Doa adalah merupakan senjata orang-orang mu’min seperti maksud sabda Baginda Rasullulah SAW,
“Doa adalah senjata orang mu’min, tiang bagi agama, dan Nur bagi langit dan bumi.” [HR Hakim]
Doa juga merupakan simbol ketundukan dan kerendahan diri dihadapan Allah SWT. Doa adalah cara untuk mendapat kemakbulan hajat. Firman Allah SWT,
“Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan.” [Al-fatihah: 5]
Allah SWT dekat dengan orang-orang yang berdoa. Firman Allah SWT,
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang-orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi segala (perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” [Al-Baqarah: 186]
7. Selawat
Allah dan malaikat berselawat keatas orang-orang yang berselawat. Allah memerintahkan kita orang-orang beriman untuk berselawat. Firman Allah SWT,
“Dan Tuhanmu berfirman, “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mau menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.” [Ghafir: 60]
Allah SWT suka dan memerintahkan hamba-hamba-Nya berdoa kepadanya.
Firman Allah SWT,
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan kepadanya.”
[Al-Ahzab: 56]
Banyak berselawat sesungguhnya akan mendekatkan diri kepada kekasih Allah iaitu Baginda SAW di hari kiamat. Kita akan mendapat syafaat Baginda s.a.w dengan banyak berselawat. Berselawatlah setiap hari sebaik- baiknya minima 1000x.
8. TilawahAl-quran
Al-quran adalah kalamullah, iaitu firman-firman Allah buat manusia mendapat maklumat daripada Allah, kita perlulah membaca dan memahami al-quran. Al-quran merupakan mukjizat Baginda SAW yang paling agung dan sentiasa dalam pemeliharaan Allah SWT. Firman Allah SWT,
“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al-Qur’an, dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya.”
[Al-Hijr: 9]
Al-quran merupakan petunjuk sepanjang hidup kita. Firman Allah SWT,
“Dengan Kitab itulah (al-Quran), Allah memberi petunjuk kepada orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke (arah) jalan keselamatan, dan (dengan Kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang itu dari gelap-gelita kepada cahaya yang terang dengan izin-Nya, dan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” [Al-maidah: 16]
Al-quran adalah penyelesaiaan segala masalah hidup manusia. Firman Allah SWT,
“Alif Lam Ra. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu (Muhammad) agar engkau mengeluarkan manusia dari kegelapan yang gelap-gelita kepada cahaya yang terang-benderang dengan izin Tuhan mereka, (iaitu) menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa,lagi Maha Terpuji.” [Ibrahim: 1]
Penutup
Tarbiah ruhiyyah adalah asas pembentukan peribadi muslim unggul. Kesungguhan penyucian jiwa seseorang maka bersihlah hati nuraninya. Rapat hubungan dan pengharapan sebanyaknya kepada yang Maha Berkuasa, maka tenang dan mudahlah laluan hidupnya.
Mudah-mudahan tarbiah ruhiyyah ini sentiasa menjadi pilihan dan keutamaan aktiviti kehidupan kita, kerana ia adalah pemangkin kejayaan hidup dunia dan akhirat. Firman Allah SWT,
Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik.”[Al-Ankabut: 69]




















