Ukhuwwah Islamiyyah benteng keteguhan jamaah

Please wait while flipbook is loading. For more related info, FAQs and issues please refer to DearFlip WordPress Flipbook Plugin Help documentation.

MUQADIMAH

Firman Allah SWT :

{ إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةࣱ فَأَصۡلِحُوا۟ بَیۡنَ أَخَوَیۡكُمۡۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ }

Mafhumnya : “Sungguh orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” [Surah Al-Hujurât: 10]

Daripada Anas bin Malik Ra, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Mafhumnya: “Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” [Riwayat al-Bukhari]
Imam Hasan Al-Banna mentakrifkan ukhuwwah dalam arkanul baiah yang ke sembilan karangan beliau:

“Dan yang aku kehendaki berkaitan ukhuwwah ialah kamu mengikat hati-hati dan roh-roh dengan ikatan Aqidah. Ikatan Aqidah itu amat kukuh dan mahal. Ukhuwwah saudara iman manakala perpecahan saudara kufur. Kekuatan yang utama ialah kekuatan kesatuan, tiada kesatuan tanpa kasih sayang. Serendah kasih sayang ialah berlapang dada manakala martabat paling tinggi ialah ithar (mengutamakan orang lain dari diri sendiri).”

UKHUWWAH KEKUATAN GENERASI AWAL ISLAM
Semenjak di fasa Makkiyah lagi Rasulullah SAW telah menanam asas aqidah kepada para sahabat yang menekankan aspek persaudaraan Islam. Atas asas itulah Saidina Abu Bakar RA yang merupakan pembesar yang memiliki kedudukan sanggup membela dan membebaskan Saidina Bilal yang merupakan hamba berbangsa habasyi (berkulit hitam) ketika ia diseksa oleh tuannya kerana beriman. Asas kekuatan inilah yang bertambah hari demi hari bilangannya membantu kepada perkembangan dakwah di Makkah dari fasa siriyyah (dakwah secara rahsia) kepada fasa jahriyyah (dakwah secara terbuka).

Ikatan persudaraan inilah juga yang ditanam oleh Nabi SAW kepada suku Aus dan Khazraj yang berbaiah dengan baginda SAW setelah memeluk Islam dalam perjanjian Aqabah walaupun sebelum itu sekian lama kedua suku ini berbalah dan berperang antara satu sama lain di Yathrib (nama Madinah lama).
Apabila Nabi Muhammad SAW berhijrah di Madinah pula tiga perkara asas yang Baginda SAW lakukan iaitu mendirikan masjid, mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar serta menegakkan syariat Allah. Ukhuwwah diberi perhatian yang lebih kerana ia adalah tonggak kepada pembinaan sebuah negara. Negara goyang jika ukhuwwah longgar, begitu juga di dalam jama’ah. Oleh sebab itu jika perkara ini diabaikan ia mendatangkan musibah yang tidak baik kepada perjalanan jama’ah.

PERSAUDARAAN ISLAM ADALAH ANUGERAH NIKMAT ALLAH TA’ALA

Ukhwwah Islamiyyah ini merupakan nikmat Allah SWT. Firman Allah SWT :

{ وَٱعۡتَصِمُوا۟ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِیعࣰا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ۚ وَٱذۡكُرُوا۟ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَیۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَاۤءࣰ فَأَلَّفَ بَیۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَ ٰ⁠نࣰا َ }

Mafhumnya : “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara” [Surah Âl-`Imrân: 103]

Silaturrahim menghapuskan dosa-dosa sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani daripada Rasulullah ﷺ bahawa Baginda ﷺ bersabda:

إِنَّ الْمُسْلِمَ إِذَا لَقِيَ أَخَاهُ فَأَخَذَ بِيَدِهِ تَحَاتَّتْ عَنْهُمَا ذُنُوبُهُمَا كَمَا يَتَحَاتُّ الْوَرَقُ عَنِ الشَّجَرَةِ الْيَابِسَةِ فِي رِيحِ يَوْمٍ عَاصِفٍ، وَإِلَّا غُفِرَ لَهُمَا وَلَوْ كَانَتْ ذُنُوبُهُمَا مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Mafhumnya :“Sesungguhnya seorang Muslim apabila dia bertemu saudaranya yang Muslim kemudian mereka berjabat tangan (musafahah) maka akan berguguranlah keduanya dosa-dosa mereka sepertimana gugurnya daun kering daripada pokok yang ditiup angin serta diampunkan bagi keduanya dosa-dosa mereka walaupun umpama buih di lautan.” (Riwayat al-Tabarani)

Sabda Rasulullah ﷺ lagi:

مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلَّا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا

Mafhumnya :“Tidaklah dua orang Muslim yang saling bertemu dan berjabat tangan kecuali akan diampunkan kedua-duanya dosa sebelum mereka berpisah.” (Riwayat al-Tirmizi)

Mereka yang mengamalkan ukhwah Islamiyyah juga akan mendapat lindungan arash Allah Ta’ala pada hari kiamat sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ yang menyatakan bahawa terdapat 7 golongan manusia yang dilindungi Allah Ta’ala pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan-Nya dan salah satu daripada golongan tersebut seperti yang diriwayatkan ialah:

وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ

Mafhumnya :“Dua orang lelaki yang berkasih sayang pada jalan Allah, mereka bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.”
Semuanya ini diharapkan dapat dijadikan sebagai pembina semangat kepada umat Islam khususnya para pendokong gerakan Islam khususnya untuk berusaha mendapatkan kelebihan-kelebihan yang begitu tinggi yang telah dijanjikan Allah SWT ini.

KEPENTINGAN UKHWAH DALAM BERJAMA’AH
Ukhuwwah boleh merapatkan saff kepimpinan di dalam jama’ah. Bila ukhuwwah renggang banyak kerja jama’ah akan terencat. Sebab itu ikatan ukhuwwah mesti dipelihara demi kelangsungan perjuangan. Perjalanan jama’ah bergerak secara sukarela, bukan dengan paksa. Bagaimana jama’ah hendak bergerak jika perasaan mahabbah tidak ada di kalangan anggota.

Apabila adanya kasih sayang, hilanglah perasaan buruk sangka sesama sahabat kerana syaitan gagal menghasut. Sekiranya wujud sebarang keraguan terus mendapat penjelasan dan penerangan. Hubungan renggang berpunca daripada sangka buruk. Firman Allah Ta’ala :

(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلا تَجَسَّسُوا وَلا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا),

Mafhumnya : “Wahai orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain. (Surah al-Hujurat, ayat 12)
Ukhuwwah yang kukuh mengelak daripada musuh jama’ah dapat bertapak di dalam parti. Mereka gagal untuk berlakon dan menjadi virus pemusnah di dalam jama’ah, kerana segala tingkah laku mereka sentiasa diperhati di kalangan ahli. Semua ahli akan mengawal daripada semua sudut menjadi perisik jama’ah untuk melaporkan kalau ada pengkhianat dalam parti.

Terdapat beberapa syarat yang mesti dipenuhi agar persaudaraan Islam yang dilaksanakan benar-benar diterima Allah Ta’ala sebagai “ukhwah fillah”. Antaranya ialah:
1. Persaudaraan mestilah ikhlas kerana Allah Ta’ala. Bukan kerana kepentingan-kepentingan yang lain.
2. Hendaklah ia berdasarkan iman dan taqwa kepada Allah Ta’ala supaya persaudaraan yang terjalin mampu menjadi pendorong dan penggalak dalam usaha melaksanakan dakwah Islamiyah.
3. Persaudaraan yang terjalin mestilah beriltizam dengan manhaj Islam. Oleh yang demikian, persaudaraan Islam tidak akan terlaksana tanpa adanya usaha untuk bersama-sama melaksanakan syariat Allah Ta’ala. Justeru, persaudaraan tersebut mestilah merasakan diri untuk sentiasa mendokong ajaran Rasulullah ﷺ.
Persaudaraan mestilah dipenuhi dengan kalimat nasihat menasihati antara satu sama lain. Sekiranya seseorang itu mempunyai peribadi yang baik, berilah dorongan kepadanya untuk menambahkan kebaikan yang ada. Sebaliknya jika ia mempunyai peribadi yang tidak bersesuaian dengan peribadi seseorang Muslim perlu ia dinasihati agar ia berubah sikap dan kembali ke jalan yang dikehendaki oleh Allah Ta’ala dan Rasul-Nya ﷺ.
Sifat-sifat mazmumah mestilah dihapuskan dan diganti dengan sifat-sifat mahmudah. Itulah peranan yang sebenarnya bagi seorang sahabat yang bersahabat kerana Allah Ta’ala. Oleh yang demikian, bukanlah dikira ukhwah Islamiyah jika persaudaraan itu tidak mampu membimbing dan memberi teguran sesama sendiri.

SEBAB UKHUWWAH MUSNAH
1. Tidak ada program yang disusun oleh jama’ah. Akhirnya ahli membawa cara fikir dan tindakan menurut kehendak masing-masing. Maka jadilah kapal yang banyak nakhoda.

2. Mendengar pandangan orang lain, tanpa mengambil kira pandangan sesama jama’ah. Seorang itu lebih percaya orang luar daripada ahli sendiri. Maka akan berlakulah jama’ah dalam jama’ah.

Zaman media baru, pandangan jama’ah tidak dipedulikan. Kadang-kadang ahli lebih percaya kepada persepsi yang berjaya dibentuk. Maklumat yang diperolehi kadang-kadang daripada ejen musuh yang berlakon sebagai ahli PAS. Mereka inilah yang membuat adu-domba sehingga kita berselerak dan ukhuwwah hancur. Inilah dilema gerakan Islam seluruh dunia ketika menghadapi zaman langit terbuka. Ia juga menimpa kepada Gerakan Islam di dunia hari ini. Rujukan mereka ialah Facebook, Page, Portal, Twitter dan seumpamanya. Akhirnya musuh bertepuk tangan.

3. Ahli tidak sedia untuk mengikuti program khusus seperti usrah, tamrin, liqa’ al-fikri. Mereka lebih selesa ikut program umum daripada program khusus. Apabila jarang bertemu dan bersua mata, maka banyak maklumat diambil daripada media baru, akhirnya membentuk persepsi negatif kepada jama’ah dan pimpinan.

4. Pimpinan tidak turun ke peringkat akar-umbi untuk memberi pengisian dalaman dan dialog terbuka bersama ahli.

5. Masalah ahli dan pimpinan yang tidak suka dirinya ditarbiyah. Puncanya kerana merasa dirinya sudah hebat. Akhirnya timbul sikap ego di dalam jama’ah. Di sinilah bibit ukhuwwah rosak di dalam jama’ah.

SOLUSI MASALAH
1. Bacalah kisah-kisah sahabat yang menunjukkan ukhuwwah yang mantap melalui madrasah Rasulullah ﷺ. Terutama orang Ansar dan Muhajirin, sehingga Allah merakamkan di dalam al-Quran. Firman Allah Ta’ala :

(وَالَّذِينَ تَبَوَّؤُوا الدَّارَ وَالإِيمَانَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ)

Mafhumnya : “Dan orang-orang (Ansar) dan telah beriman sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah ke tempat mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (Muhajirin), atas dirinya sendiri meski pun mereka juga memerlukan. (Surah al-Hashr, ayat 9)

2. Mesti tanamkan di dalam diri ahli PAS di semua peringkat bahawa perpecahan di dalam jama’ah akan menguntungkan pihak musuh.

Kita mesti mengelak semampu mungkin untuk mewujudkan faktor-faktor yang boleh merenggangkan ukhuwwah di kalangan ahli. Contohnya di dalam mesyuarat kalau tidak bersetuju biarlah dengan bahasa yang beradab. Jangan menghina pandangan ahli mesyuarat. Tidak bersetuju tidak mengapa tetapi jangan menghina. Biarlah mesyuarat dengan suasana penuh ukhuwwah bukan ‘adawah (permusuhan). Jadikan mesyuarat tempat untuk subur kasih sayang. Biarlah ahlinya seronok untuk datang mesyuarat, bukan bosan apabila hadir mesyuarat.

3. Segera mendapat maklumat daripada batang tubuh sahabat jika beliau adalah orang yang dituduh. Supaya penjelasan ini akan menamatkan tuduhan dan fitnah kepada setiap ahli.

4. Program kerohanian mesti dirancakkan di dalam organ parti. Kerana manhaj tarbiah PAS merangkumi pembinaan akal, jasmani dan rohani. Kadang-kadang terlepas pandang, sehingga sudut tarbiyah ruhiyah dikesampingkan akhirnya bibit-bibit perpecahan mudah menyerap masuk di dalam jamaah kerana hati-hati yang berpenyakit, kering kontang dari tazkiyah dan muhasabah

5. Usrah yang menjadi tunggak kepada gerakan PAS perlu diaktifkan daripada peringkat Pusat hingga ke cawangan. Usrah merupakan siri pertemuan di kalangan ahli dengan skala kecil, tetapi mempunyai impak yang besar. Seboleh mungkin pertemuan mesti dibuat sekurang-kurangnya sebulan sekali. Usrah akan mengikat talian ukhuwwah yang tinggi di kalangan ahli yang hadir.

Komunikasi dua hala akan berlaku dengan mudah. Tidak bosan, kerana ia boleh berpeluang tukar pandangan, bertanya, berdialog. Segala kekusutan dalam jamaah akan dapat diatasi dengan mudah. Sebagai mana kita maklum, permasalahan di dalam jamaah berlaku akibat daripada kekusutan kecil tidak diselesaikan di peringkat awal sehingga merebak besar. Usrah adalah satu daripada mekanisme yang boleh mengurangkan ketegangan dalam jamaah.

6. Usah gunakan media untuk mengkritik sesama ahli, walaupun kita rasakan pandangan kita betul. Orang awam melihat dan menilai kenapa sesama ahli PAS bergaduh. Mereka tidak melihat permusuhan itu bersifat peribadi, tetapi mereka menempelak kenapa sesama ahli pun bergaduh. Perlu diingat jika kita menggunakan media, maka rakan kita satu jama‘ah juga akan menggunakan medium yang sama. Hasilnya orang awam akan menghukum kita.

7. Memberi hadiah kepada sahabat seperjuangan juga merupakan antara cara untuk menanamkan roh ukhwah Islamiyah sebagaimana hadis (تهادَوْا تحابُّوا) yang bermaksud: Berhadiahlah kamu maka kamu akan berkasih sayang. Jelas di sini bahawa memberi hadiah kepada seseorang bukanlah suatu perkara yang remeh, malah ia memberi kesan yang mendalam terhadap tautan persaudaraan yang dijalinkan.

8. Selain itu hidup suburkanlah segala sunnah yang digalakkan oleh Nabi SAW untuk menyuburksn ukhuwwah dan mahabbah seperti ucapkan salam bila bertemu, menjenguk sahabat yang sakit, doa ketika mereka bersin, saling ziarah menziarahi, tolong-menolong ketika kesempitan, memenuhi jemputan, tidak memutuskan hubungan, bertolak ansur dan memaafkan, bertemu sahabat dengan muka yang manis, saling membudayakan nasihat menasihat dan meminta nasihat dan seumpamanya.

KUKUHKAN UKHUWWAH MANTAPKAN JAMA’AH
Jentera parti perlu diperkukuhkan sama ada dari segi fizikal atau meterial. Bukan senang untuk menghadapi kekuatan dan bala tentera musuh yang dengan berbagai kelengkapan dan penggunaan media, wang dan jentera kerajaan. Selain daripada kekuatan kewangan dan pasarana pilihanraya, maka faktor kemanusiaan adalah amat diperlukan. Jalinan ukhwah yang mendalam di kalangan anggota parti daripada pimpinan hingga ahli biasa adalah amat diperlukan. Supaya jentera akan mantap laksana susunan binaan yang tersusun kukuh.

Seperti Firman Allah Ta’ala:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنْيَانٌ مَّرْصُوصٌ

Mafhumnya :“Sesungguhnya Allah suka kepada hamba-Nya yang berperang di jalan Allah dengan tersusun laksana bangunan yang kukuh.” (Surah al-Saff, ayat 4)
Beberapa langkah yang perlu ada untuk membentuk ukhuwwah di kalangan anggota parti, antaranya ialah :

1. Betulkan “nawaitu”, bahawa kita menjadi ahli PAS dan berjuang kerana Allah. Tidak ada yang lain daripada itu. Berjuang bersama PAS bukan kerana hendak berniaga dengan ahli PAS kerana ahli PAS hampir satu juta. Berjuang bukan kerana hendak menjadi calon, kerana calon pilhanraya amat terhad. Menyertai parti bukan kerana pangkat atau jawatan, kerana jawatan di dalam PAS satu bebanan bukan kemuliaan. Menyertai PAS bukan kerana hendak mendapat projek jika memerintah. Betul niat maka akan memantapkan ukhuwwah.

2. Semua mesti fokus berfikir bagaimana untuk mengukuhkan parti dan kemenangan parti. Jika semua berfikir ke arah itu maka semangat ini akan memberi kekuatan kepada parti. Tidak ada masa untuk bertelagah sesama sendiri sehingga merencat kerja parti ke arah kejayaan.

3. Berbaik sangka dengan semua ahli PAS. Mereka yang tidak ikhlas akan terkeluar atau dikeluarkan oleh ahli, kerana PAS ialah jama’ah yang terdiri dari kalangan orang yang soleh. Jika ada mana-mana pihak yang mempunyai agenda yang tersendiri tidak akan berjaya. Oleh itu berbaik sangka dengan sahabat adalah perlu. Jauhkan perasangka buruk sesama anggota.

4. Sifat meraikan semua ahli yang berbagai latar belakang status kedudukan dan tahap akademik adalah perlu. Janganlah kita mudah mengeluarkan perkataan bodoh jika ahli yang diarah melaksanakan kerja tersilap menerima arahan. Anggaplah tahap pemikiran mereka tidak sama dengan kita. Jika kita dengan mudah mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati sahabat bagaimana ikatan ukhuwwah hendak ditautkan.

5. Lahirkan sifat kasih sesama anggota. Biarlah menampakkan kita kasih kepada amilin bawahan terutamanya. Lemparkan senyuman dan manis muka dan ringan mulut untuk berbicara dan bertanya khabar. Ahli PAS bukan wang yang diminta, tetapi ialah kemesraan dan layanan yang diutamakan. Mereka begitu berbangga jika pimpinan mereka seolah-olah mengambil berat terhadap mereka.

6. Berilah keutamaan kepada ahli PAS ketika memberi bantuan. Lihatlah ahli dan amilin yang memang susah dan layak menerima bantuan. Memang kebiasaan ahli PAS tidak meminta walaupun mereka ini orang susah, tetapi kita sebagai pimpinan perlu mengambil berat terhadap keperluan mereka.

7. Apabila semua pakat memikirkan untuk mengalahkan musuh, maka jama’ah akan kuat. Selalunya orang yang tidak bekerja atau sedikit kerjanya untuk parti memang terlalu nampak kesalahan sahabat sedangkan beliau hanya asyik mengkritik tanpa apa-apa sumbangan kepada parti. Orang seperti ini amat merbahaya kepada parti dan tidak mendatangkan apa-apa faedah.

8. Kelompangan dalam saff jama’ah akan memberi tempat kepada syaitan untuk menyusup masuk ke dalam saff jama’ah. Parti akan kukuh seperti acuan keluli di mana syaitan dan musuh parti tidak dapat mencari lubang pun untuk mencelah masuk dan melakukan kerosakan. Walaupun syaitan datang dengan bala tentera yang banyak untuk menyerang dari luar atau dalam, semua usaha ini akan menemui kegagalan. Sifat kesungguhan dan pengorbanan yang tinggi di kalangan anggota tidak akan memberi peluang kepada syaitan dan musuh-musuh Allah untuk mengadu domba supaya wujud pergaduhan sesama sendiri.

Atas dasar ukhuwwah inilah Imam Hassan al-Banna meletakkannya sebagai salah satu daripada Rukun Bai’ah yang sepuluh. Tanpa ukhuwwah sesuatu jama’ah tidak mampu bergerak untuk melaksanakan segala apa yang telah dirancangkan dan akan melambatkan proses kemenangan untuk menegakkan daulah. Oleh itu, permantapan ukhuwwah merupakan satu kewajipan kerana dengannya akan terlaksana hadaf Islam yang menjadi kewajipan penganut Islam untuk merealisasikannya

Related Blog

Leave a CommentYour email address will not be published.